Majlis Olimpik Malaysia – Penyerahan baton…

Oleh Lukman Salleh 29 April 2018 786
Majlis Olimpik Malaysia – Penyerahan baton…
BUAT kali pertama dalam tempoh 20 tahun, Majis Olimpik Malaysia (MOM) bakal menyaksikan Presiden baru menerajui badan tertinggi sukan negara susulan keputusan Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar untuk mengundur diri. Siapa yang bakal memegang tampuk baru sudahpun diketahui dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria menjadi calon tunggal untuk jawatan ini. Tahniah kepada Datuk Seri Norza yang pasti akan membawa corak pengurusan tersendiri dalam MOM kelak.

Bagi saya perubahan ini akan membawa maksud yang besar kerana mungkin ada perubahan dalam semua jawatan yang dipertandingkan. Tunku Imran tidak melatih seseorang untuk menggantikan beliau. Saya sudah mengenali Tunku Imran ketika saya memulakan karier selaku wartawan sukan pada 1994 dan salah satu pengkhususan saya ketika itu adalah MOM. Pada masa itu Tunku Imran memegang jawatan Timbalan Presiden MOM kepada Presiden, Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah.

Saya turut menjadi saksi kepada perubahan kepimpinan dalam MOM apabila pada 1998, Tunku Imran memutuskan untuk mencabar Tan Sri Hamzah untuk jawatan presiden dan memenanginya. Dengan sukan begitu dekat di hati Tunku Imran, beliau menguruskan MOM tanpa ada sebarang kontroversi besar. Dan selepas berkhidmat selama 20 tahun dan pada usia 70 tahun, Tunku Imran memilih untuk mengundurkan diri.

Saya berkesempatan bertemu Tunku Imran yang hadir  ke Studio Astro Arena bagi wawancara rancangan [email protected] pada Sabtu lalu, dan berbual dengan beliau, saya lantas mengajukan beberapa soalan

Antaranya, saya bertanya kenapa tidak ada tokoh-tokoh daripada bekas ahli sukan negara atau Olimpian yang sudi untuk menerajui MOM? Ada ramai tokoh-tokoh ahli sukan yang berkemampuan pada pandangan saya seperti Tan Sri M Jegathesan, Datuk Marina Chin, Datuk Zaiton Othman dan ramai lagi. Bagi saya mereka ini lebih layak untuk menerajui badan induk sukan negara seperti MOM.

Dalam hal ini Tunku Imran mendedahkan bahawa beliau ada bertanya kepada beberapa bekas Olimpian sama ada berminat untuk bertanding dalam jawatan tertinggi MOM, malangnya mereka enggan atas sebab-sebab yang tertentu.

Pada pandangan saya, bekas ahli-ahli sukan serta Olimpian negara perlu menawarkan diri untuk berkhidmat dalam MOM demi menjaga kepentingan sukan negara serta memelihara martabat sukan negara. 

Secara peribadi saya juga berpendapat bahawa terdapat seolah-olah kekurangan tokoh yang dapat mengisi kekosongan utama dalam MOM. Sebagai contoh jawatan presiden hanya ada satu calon dan bagi jawatan lain terdiri daripada calon-calon yang pernah mengisi jawatan ini satu ketika dahulu ataupun penyandang jawatan. Hanya sedikit muka baru. Apakah ketika ini, wujud ketandusan calon-calon lain yang berwibawa atau kekurangan minat untuk mengisi jawatan ini secara sukarela?

Apapun dengan semua jawatan tertinggi dalam MOM melainkan jawatan presiden sudah diketahui calon-calonnya, saya berharap siapa saja yang menang pada pemilihan 5 Mei ini, akan meletakkan kepentingan sukan di hadapan dan bukan menjadikan MOM sebagai platform bagi tujuan atau kepentingan lain.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen