"Magis" emas pertama dan tumbangnya juara dunia

Oleh Zulhelmi Zainal Azam 10 April 2018 17761
Oleh Zulhelmi Zainal Azam

GOLD COAST adalah peluang kedua saya perolehi untuk membuat liputan Sukan Komanwel selepas kali pertama bertuah dipilih sama-sama ke temasya di Glasgow empat tahun lalu setelah menyertai skuad Nadi Arena pada 2013.

Sememangnya cabaran membawakan perkembangan atlit-atlit negara di temasya kedua terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik ini cukup hebat setelah pelbagai dugaan terpaksa ditempuhi bersama jurukamera, Syafiq Safian.

Biasalah, dah nama pun temasya berprestij, banyak peraturan perlu dipatuhi. Tapi, ia bukan halangan untuk kami membawa liputan terbaik kepada peminat sukan tanahair.

Kali ini, saya juga bertuah kerana dapat menjadi saksi kejayaan emas pertama kontinjen negara di Sukan Komanwel.

Jika edisi empat tahun lalu, saya jadi perakam sejarah kejayaan Hafifi Mansor untuk emas pertama negara, temasya kali ini pula membabitkan Azroy Hazalwafie yang mengungguli kategori 56kg lelaki dalam sukan sama, angkat berat.

Menariknya, Azroy menjelmakan kilauan emas itu dengan mengenakan seragam idolanya Amirul Hamizan Ibrahim yang merangkul emas di Manchester pada 2002. Ternyata seragam berwarna biru, hitam dan putih itu punyai magisnya yang tersendiri.

Itu antara momen menarik saya kali ini dan tidak dapat dilupakan juga ialah ketika pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom, menumbangkan juara dunia, Matt Glaetzer di hadapan penyokong lawan dalam acara pecut.



Saat dan ketika itu, nama Shah Firdaus dan Malaysia jadi bualan hangat dan mencetuskan gamat di Velodrom Anna Meares di Brisbane yang dibanjiri penyokong tuan rumah.

Malah, saya juga terasa tempias daripada kemaraan Shah Firdaus itu apabila rakan media dari Channel 7 Australia turut memuji kehebatan pelumba negara di samping memberi ucapan tahniah.



Apa pun, tugasan di temasya Gold Coast masih belum berakhir dan perjuangan masih diteruskan dengan harapan agar ada lagi kilauan emas dapat dijelmakan atlit negara selepas ini.

Selamat maju jaya buat atlit negara!
 

*Jangan lupa ikuti liputan eksklusif kontinjen negara di Sukan Komanwel 2018 menerusi saluran Astro Arena 801/802HD dan saluran khas berita Nadi Arena 800/803HD

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen