“Maaf Dong-Hyun, bukan musim ini” 

Oleh Adam Zamri 29 May 2018 30483
“Maaf Dong-Hyun, bukan musim ini” 
Hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum jendela perpindahan Liga Malaysia ditutup 3 Jun ini, dengan rata-rata pasukan masih mencari pemain baru, tidak kurang ada juga yang kekal dengan barisan sedia ada.

Untuk UiTM FC, sebuah pasukan dengan bajet yang terhad, mereka tidak rancak berbelanja mencari pemain baru, khususnya import. Cuma mereka membawa masuk beberapa pemain tempatan, Che Mohammad Safwan Hazmi (Perlis), Arman Farezz Mohd Ali (Pulau Pinang) dan penjaga gol, Mohd Hafidz Romly (Terengganu FC II)

Tiada pemain import baru diambil dengan ketua jurulatih, Wan Mustaffa Wan Ismail, berpuas hati dengan sumbangan empat awang import sedia ada, Kota Kawase (Jepun), Dao Bakary dan Deci Marcel (Ivory Coast), serta Lucas Pugh (Argentina).

Ini bermakna, tiada ruang untuk import sensasi mereka sebelum ini, Do Dong Hyun dari Korea Selatan untuk kembali menabur bakti buat UiTM.

“ Kami pernah cuba berunding dengan pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk bawa Dong Hyun main dengan UiTM, tapi mereka meminta kami membelinya semula, sedangkan kami hanya mahu membuat pinjaman”

“ Gajinya kini bersama Kelantan agak tinggi daripada bajet kami, jadi saya terpaksa melupakan untuk dapatkan khidmatnya”

Jelas Wan Mustaffa yang tampak sedikit kecewa apabila terpaksa melupakan hasrat dapatkan kembali Dong Hyun beraksi di Shah Alam semula.

Dong Hyun dibawa masuk daripada pasukan East Bengal FC pada awal tahun lalu. Bersama seorang lagi import, Akanni Sunday Wasiu, mereka berdua bantu UiTM cipta sejarah layakkan diri ke saingan Piala Malaysia buat julung kalinya.

Daripada 22 penampilan bersama UiTM FC musim lalu, dia berjaya meledak 13 gol, namun apabila dia berhijrah ke Kelantan pada 2018, dia mengalami kesukaran untuk sesuaikan diri sehingga sukar mendapat kepercayaan jurulatih sedia, Fajr Ibrahim, dalam perancangan pasukan Kelantan.

Mungkin musim ini tiada rezeki untuk UiTM dapatkan semula Dong Hyun, namun Wan Mustaffa tidak menolak untuk menyaksikan pemain Korea itu kembali ke menyarung jersi “Soaring Upwards” pada masa akan datang.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen