Luqman Hakim penyeri kesuraman di Hanoi

Oleh Shaiful Shamsudin 11 October 2019
Luqman Hakim penyeri kesuraman di Hanoi
Bukan kekalahan 0-1 kepada Vietnam menjadi bualan sebenar, sebaliknya kegagalan mencipta sebarang percubaan tepat ke pintu gol skuad Naga Emas lebih menjadi fokus utama dalam kegagalan misi menamatkan kemarau di gelanggang lawan.

Statistik perlawanan sudah cukup betapa pengalaman di Stadium My Dinh, Hanoi, malam tadi cukup memeritkan untuk ditelan walaupun hadir berbekalkan reputasi 10 gol dalam tiga perlawanan terakhir.



Segalanya bagaikan tidak menjadi buat jentera skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu, namun Luqman Hakim Shamsudin membawa berita ceria untuk peminat bola sepak tempatan hari ini.

Produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) tersebut diletakkan sebaris dengan bintang yang akan mewarnai bola dunia sepak pada masa depan.

Menurut www.theguardian.com, nama Luqman Hakim, yang akan menyertai K.V. Kortrijk di Belgium, Mac depan, tersenarai dalam 60 pemain muda yang diramalkan mampu menggegar bola sepak dunia pada satu hari nanti.



Malah, koresponden untuk BBC Radio, ESPN, The Guardian, New York Times, World Soccer Magazine and Associated Press (AP), John Duerden, turut mengangkat penyerang yang mencetak empat gol dalam kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Vietnam, Ogos lalu.

Akademi-akademi tersohor dunia seperti Borussia Dortmund sedang menggilap bakat pemain Amerika Syarikat (AS), Giovanni Reyna, sementara produk River Plate di Argentina pula mempunyai pemain kelahiran Uruguay, Matias Areza.

Ajax, Porto dan Arsenal yang cukup terkenal sebagai kilang melahirkan pemain-pemain berbakat juga tidak ketinggalan mempunyai wakil.

Dalam senarai itu juga, ada anak kepada bekas bintang Iceland, Eidur Gudjohnsen, yang kini bersama Real Madrid.

Ansu Fanti paling menyerlah selepas muncul sebagai pemain termuda yang meledak gol buat Barcelona pada usia 17 tahun berikutan krisis kecederaan yang menghimpit Barcelona ketika bertemu Osasuna musim ini.



Sejurus perlawanan, dia menerima pelukan daripada ketua pasukan kelab itu yang tersisih akibat masalah kecederaan, Lionel Messi, yang suatu ketika diberi kesempatan untuk mengukir nama ketika sebayanya.

Selain pemain kelahiran Kelantan itu, penyerang berusia 17 tahun kelab Buriram United yang berpangkalan di Thailand, Suphanat Mueanta, juga tersenarai.

Sudah tentu penyenaraian ini satu kebanggaan buat rakyat Malaysia yang sudah tentu tidak sabar-sabar untuk melihat kelibatnya dalam skuad senior Harimau Malaya, seperti yang dirancangkan Cheng Hoe.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen