Kuota import ASEAN satu pembaziran?

Oleh Fadzrie Hazis 12 June 2018 11631
Kuota import ASEAN satu pembaziran?
Saingan musim 2018 menyaksikan pentadbir Liga M, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), memperkenalkan kuota pemain import kelima untuk pemain dari negara ASEAN buat Liga Super.

Namun, selepas separuh musim Liga Super berlangsung musim ini, tidak semua pemain kuota ASEAN mempamerkan aksi berkualiti yang diharapkan.

Setakat ini, pemain ASEAN yang cemerlang ialah pemain Singapura seperti Faris Ramli (PKNS FC), Safuwan Baharudin (Pahang), Harris Harun (JDT) dan Shahdan Sulaiman (Melaka).

Turut konsisten ialah pemain sayap Kedah dari Indonesia, Andik Vermansah, dan pemain tengah bertahan Terengganu FC dari Kemboja, Thierry Chantha Bin.

Namun, pemain-pemain ASEAN lain tampak sukar menjelmakan aksi di tahap lebih tinggi berbanding pemain tempatan.

Pemain Indonesia, Achmad Jufrianto (Kuala Lumpur) dan Ilham Udin Armyn (Selangor) adalah antara yang memgecewakan tetapi dikekalkan kerana langkah penjimatan pasukan mereka yang tidak mempunyai peruntukan besar menukar awang import.

Selain dari Thierry, rata-rata pemain Kemboja lain juga amat mengecewakan sehingga ditamatkan kontrak pada jendela perpindahan kedua Liga M yang berakhir 3 Jun lalu.

Keo Sokpheng (PKNP FC) ,Chan Vathanaka (Pahang) dan Prak Mony Udom ( Negeri Sembilan) adalah tiga pemain Kemboja yang ditamatkan kontrak pada pertengahan musim.

Bagi pemain Filipina pula, Perak meleraikan ikatan dengan Misagh Bahadoran yang gagal cemerlang walaupun hadir dengan reputasi hebat di negaranya.

Namun, rakan senegaranya Ian Ramsy dan Angel Guirado pula cemerlang dengan Felda United (Liga Perdana) dan Negeri Sembilan.

Beza Ramsy dan Guirado dengan Bahadoran adalah mereka berdarah kacukan Eropah-Filipina.

Sebenarnya pengambilan awang import kuota ASEAN boleh mencapai objektifnya jika setiap pasukan Liga Super mempunyai pencari bakat (scout) yang berkesan.

Penulis pernah membuat liputan saingan

AFF B19 Tahun pada 2015 di Laos dan penulis berani katakan ada sekurang-kurangnya lima hingga 10 pemain muda Thailand dan Vietnam yang mampu mewarnai kancah Liga Super.

Jika kos mendapatkan mereka menjadi kerisauan pasukan-pasukan Liga Super, mereka perlu bijak berunding dengan kelab Thailand atau Vietnam untuk mendapatkan bakat muda mereka secara pinjaman.

Kaedah ini mampu memberikan situasi menang-menang antara kelab-kelab mereka dengan pasukan negeri atau kelab Liga Super.

Kelab utama Thailand seperti Muangthong atau Chonburi sudah pasti mempunyai ramai bakat muda yang memerlukan pendedahan dan Liga Super mampu menjadi tapak sesuai buat mereka.

Apa pun terserah kepada MFL melakukan sedikit perubahan dalam pengambilan awang import ASEAN.

Jika kekal dengan kaedah sekarang, mungkin lebih baik dimansuhkan kuota ASEAN dan berikan lebih ruang buat pemain tempatan beraksi di peringkat Liga Super.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen