Kerana aku benci dia

Oleh Shahrazad Sani 13 June 2019 25051
Kerana aku benci dia
"Aku benci dia, sumpah aku benci dia, dia ingat dia star sangat ke?"

Kata-kata yang terlepas daripada bibir sendiri, suatu hari waktu melampiaskan marah ke atas ikon yang dijulang dunia ini, Datuk Lee Chong Wei.

Harus saya tegaskan ketika itu saya hijau dalam bidang kewartawanan sukan, pada ketika diri masih naif dengan perwatakan atlet berstatus bintang.

Hari-hari awal mendampingi sukan badminton, beberapa personaliti seperti Koo Kien Keat, Tan Boon Heong dan terutama sekali Chong Wei menyukarkan kehidupan seharian saya.

Hak untuk menjadikan badminton sebagai tugasan utama pada tahun-tahun pertama operasi Astro Arena jadi rebutan antara saya dan beberapa rakan wartawan lain.

Terus terang saya katakan, kemahuan mengibar bendera putih terhadap cabaran ini terlintas dalam fikiran saya hampir setiap hari.

Lebih-lebih lagi, bila saya gagal mendapatkan pandangan ataupun maklum balas yang diperlukan daripada Chong Wei.

Kadang saya bingung dan hairan bagaimana dia begitu mesra bersama wartawan-wartawan lebih senior, tetapi dengan saya.....

"Eh, you buat apa dekat sini" herdik Chong Wei kepada saya jika tidak kena pada 'mood' beliau bila saya berkunjung ke Stadium Juara Bukit KIara.

Atas dasar itu saya berazam untuk memastikan saya akan membawakan liputan di kem kebangsaan sehingga dia muak melihat muka saya.

Sekalipun tegang perhubungan profesional antara saya dengan Chong Wei, setidaknya pada pandangan peribadi, tidak pernah saya rendahkan sokongan untuk melihat dia 
memenuhi aspirasi bergelar Juara Dunia serta memenangi pingat Emas Sukan Olimpik.

Kali pertama melihat dia tersungkur di pentas final Kejohanan Dunia adalah edisi 2013 di Guangzhou China, pada tangan seteru ulung Lin Dan.

Kali kedua, Kejohanan Dunia 2015 di Jakarta Indonesia, Chen Long menafikan kebangkitan semula Chong Wei daripada penggantungan doping untuk sekali lagi bergelar naib juara.

Kenangan paling manis sudah pasti di Sukan Olimpik Rio 2016 dengan semangat dia saya bawa untuk jejak kaki di bumi Brazil.

Berbekal cabaran sendiri, kehilangan passport di Amsterdam dan seterusnya perlu melalui pegembaraan 62 jam ke Turki-Kuala Lumpur-Amsterdam-Paris dan akhirnya Rio De Jeneiro.

Segala himpunan emosi menjadi latar belakang kepada pertembungan epik antara Chong Wei dan Lin Dan di separuh akhir.

Detik yang lebih mahu saya kenang berbanding final yang menjadi penampilan terakhirnya di pentas Olimpik.

Hampir sedekad mengenali dia secara peribadi, saya ada penghormatan untuk individu luar biasa ini.

Kerana perasaan benci bertukar menjadi satu penghormatan untuk menjadi yang terbaik dalam profesion saya seperti dia.

Terima Kasih Datuk Lee Chong Wei, Terima Kasih sahabat.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen