Harapan England baru

Oleh Nafis Abdullah 18 May 2018 8122
Harapan England baru
Genap sebulan lagi, England bakal memulakan cabaran Piala Dunia 2018 bertemu Tunisia di Volgograd Arena sambil pengendali pasukan, Gareth Southgate, sudah mengumumkan senarai 23 pemain yang bakal diterbangkan ke Russia.

Apa yang menarik, cabaran skuad The Three Lions kali ini menampilkan banyak wajah baru tanpa kehadiran pemain "regular" seperti Alex Oxlade-Chamberlain, Adam Lallana, Theo Walcott, Joe Hart dan Jack Wilshere.



Paling mengejutkan sudah pasti keputusan pengurus kelahiran Watford itu menyenaraikan dua pemain yang tidak pernah tampil mewakili skuad senior England di pentas antarabangsa, iaitu Nick Pope dan Trent Alexander-Arnold.

Dilema kecederaan yang melanda Nathaniel Clyne dan Joe Gomez pada musim 2017/18 secara tidak langsung memberikan peluang buat Alexander-Arnold untuk menyinar bersama Liverpool sehingga mara ke saingan akhir Liga Juara-Juara Eropah, sekali gus menarik perhatian Southgate.

Dalam masa sama, Pope juga tidak kurang hebatnya. Pemain berusia 26 tahun yang berasal dari Soham, timur Cambridgeshire itu mengejutkan banyak pihak dengan prestasi cemerlang sebaik sahaja mengambil-alih posisi Tom Heaton yang ditimpa kecederaan, apabila muncul penjaga gol tempatan terbaik di England.



Selain Pope dan Alexander-Arnold, terdapat empat lagi pemain yang tidak beraksi sewaktu aksi peringkat kelayakan, iaitu Ashley Young, Fabian Delph, Jordan Pickford dan Ruben Loftus-Cheek.

Dalam masa sama, kempen skuad The Three Lions kali ini juga menampilkan pasukan yang paling rendah catatan penampilan pemain di peringkat antarabangsa sejak 1962, iaitu dengan purata 20 penampilan.

Secara keseluruhan, Southgate telah memilih lima pemain daripada Tottenham Hotspur, Manchester City (4), Manchester United (4), Liverpool (2), Leicester City (2) serta masing-masing satu daripada Arsenal, Burnley, Chelsea, Crystal Palace, Everton dan Stoke City.



Selain itu, wujud juga satu sejarah baru tahun ini apabila Harry Maguire, Jamie Vardy dan Harry Kane menjadi pemain pertama yang pernah atau masih mewakili Leicester City disenaraikan dalam skuad Piala Dunia England sejak individu terakhir yang melakukannya adalah penjaga gol legenda, Gordon Banks.

Buat penyokong England, mungkin kempen kali ini mampu memberikan sedikit harapan setelah "pembersihan" yang dilakukan oleh Southgate. Sekurang-kurangnya, anda boleh berharap agar episod hitam gagal ke pusingan kedua empat tahun lalu tidak lagi berulang.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen