Diam, buat kerja sajalah, Mourinho!

Oleh Shaukei Kahar 31 August 2018 1409
Diam, buat kerja sajalah, Mourinho!
Sikap keras kepalanya tidak akan mempermudah keadaan buat Jose Mourinho, sebaliknya adalah lebih baik dia membuat kerjanya dan berdiam diri.

Entah apa untung nasibnya, pengurus United itu masih mendapat sokongan hierarki kelab buat ketika ini di sebalik kemungkinan ia bukanlah sesuatu yang bersifat kekal.

Lantaran itu, jalan terbaik buat pengurus Portugis itu ialah mengendurkan hentamannya ke atas pemain-pemain sendiri dan berhenti daripada mengkritik media jika mahu menyelamatkan dirinya daripada dipecat. 

Gara-gara dua kekalahan daripada tiga perlawanan pertama di tangan Brighton dan Tottenham, sudah timbul cakap-cakap United akan mengalihkan tumpuan kepada bekas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, sebagai “penyelamat” musim mereka.

Namun, sesuai dengan perwatakannya sebagai seorang pejuang dan keras kepala, Mourinho tidak akan mudah angkat kaki, sebaliknya mahu memacu kembali pasukannya ke puncak.

Cuma, perilakunya yang mengundang kerisauan.

Dia secara terbuka menghentam pemain-pemainnya dan media yang didorong oleh rasa berangnya terhadap prestasi pasukannya sendiri.

Antara yang tampil memberikan nasihat ialah bekas bintang pertahanan Arsenal, Martin Keown, yang menuntut agar Mourinho menukar caranya. 

“Salah satu masalah utamanya ialah dia kadang-kala bersikap terlalu jujur,” katanya kepada akhbar Daily Mail.

“Dia secara jujur berasakan pada musim panas lalu bahawa jika Manchester United tidak membeli beberapa lagi pemain, pasukannya yang ada tidak akan cukup bagus untuk memenangi liga. Keputusan sejauh ini telah mengesahkan pandangannya itu.
 
Keown menambah: “Penyokong United telah menunjukkan jalan ke hadapan buat Jose. Selepas kekalahan 3-0 di Old Trafford sekalipun, mereka masih memberi tepukan dan sorakan kepadanya.

“Maka, Mourinho perlulah memberi tahap sokongan yang sama kepada pemain-pemainnya.

“Kita semua dapat lihat apabila satu hantaran ke belakang Victor Lindelof hampir menghadiahkan Tottenham jaringan, Mourinho berpaling dengan muka yang marah.

“Mourinho dari sekarang perlu melawan gerak hatinya untuk melakukan yang sama setiap kali pemainnya membuat kesilapan. Dia juga tidak perlu mengendahkan media.

“Dia tidak perlu terus mengingatkan semua orang terhadap apa yang telah dimenanginya. Ia seolah-olah dia mahu terus bersandar kepada kejayaan masa lalunya untuk membuktikan bukan dia yang menjadi masalah.

“Dia perlu membuktikan dia cukup bagus untuk menterbalikkan keadaan ketika ini. Dia perlu fokus untuk memenangi perlawanan, dan bukannya pertengkaran.”

Masalahnya buat Mourinho ialah dia hanya mahu didengar dan bukannya mendengar!

Itulah masalah utama di United sebenarnya.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen