Bertabahlah Izad

Oleh Bazly Azmi 5 February 2018 3020
Bertabahlah Izad
Saya terkejut apabila pertahanan hoki negara, Izad Hakimi Jamaluddin, mengmbil keputusan tidak menjalani pembedahan lutut ekoran Posterior Cruciate Ligament (PCL).

Dia cedera ketika membantu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) berdepan Maybank dalam Liga Hoki Malaysia, bulan lalu.

Kecederaan itu mirip Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang kerap menghantui atlet seluruh dunia hingga ada yang bersara.

Mujur, teknologi dan kepakaran pegawai Institut Sukan Negara (ISN) membolehkan Izad buat pilihan menjalani program pemulihan.

Sejak dia tercedera, kami sentiasa berhubung untuk mengetahui perkembangan terkini.

"Saya terpaksa melepaskan Piala Sultan Azlan Shah. Masa terlalu suntuk, saya harap dapat pulih sebelum Sukan Komanwel (April)," katanya.

Saya fikir peluangnya 50-50, bergantung kepada semangat dan kemampuan tubuhnya untuk pulih.

Berdasarkan kenalan yang bertugas sebagai pakar ortopedik, PCL mengambil masa sekurang-kurangnya enam minggu untuk pulih.

Tetapi, untuk kembali lasak seperti atlet, ia mengambil masa lebih lama.

Saya kemudian merujuk masalah ini kepada legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi.

Beliau pernah mengalami kecederaan PCL pada 1997 dan tidak menjalani pembedahan. Ironinya, beliau mampu menggalas cabaran negara hingga Piala Dunia 2002 sebelum bersara.

Selepas 31 tahun, saya melihat kesan PCL.

Tulang kering dan paha longgar, boleh digerakkan ke depan dan belakang. Atas faktor itulah, Mirnawan tidak lagi beraksi dalam mana-mana perlawanan persahabatan.

Itulah pengorbanan atlit negara. Perjuangan yang memakan diri demi lencana di dada.

Saya harap Izad buat keputusan tepat kerana jadual 2018 cukup padat. Selain Sukan Komanwel dan Piala Sultan Azlan Shah, The Malaysian Hockey Tigers perlu mencabar Trofi Juara-Juara Asia, Sukan Asia dan Piala Dunia.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen