Beri peluang anak tempatan melatih.. 

Oleh 27 February 2018 4861
Beri peluang anak tempatan melatih.. 
Ini rumah kita ini liga kita. Ingatkah lagi ungkapan ini ketika Astro Arena menjadi peneraju siaran – siaran langsung Liga Bolasepak Malaysia?

Kata-kata azimat itu sebenarnya banyak merujuk kepada usaha untuk melahirkan lebih ramai pemain-pemain tempatan berkualiti selain membuka peluang kepada jurulatih-jurulatih 'local' untuk menonjol.

Justeru saya ingin mengaitkan hal ini kepada situasi semasa, ketika nasib beberapa jurulatih asing berada di hujung tanduk dan bakal ‘direhatkan’ akibat daripada beberapa siri keputusan yang tidak memberangsangkan.

Terdahulu saya ingin menyentuh situasi sahabat saya di Kota Bharu bersama The Red Warriors, Yusri Che Lah. 

Selepas cemerlang bersama Felcra FC tetapi tidak ditawarkan jawatan sebagai ketua jurulatih, dia membawa diri balik ke Perlis sebelum dilantik penolong kepada Satiht Bensoh bersama Kelantan.

Hanya selepas tiga perlawanan liga, Bensoh dipecat dan Yusri pemain yang pernah beraksi bersama skuad Sukan Olimpik negara 1996 bimbingan Claude Le Roy menyumbang kemenangan pertama Kelantan musim ini di gelanggang sendiri.

Namun, agak mengejutkan apabila Kelantan, pada perlawanan itu turut mengundang tiga jurulatih yang disebut-sebut bakal merebut jawatan kerusi panas selaku ketua jurulatih ke KB untuk menyaksikan 'hat-trick' Do Dong Hyun menewaskan Perak 3-2.  

Persatuan Bolasepak Kelantan seharusnya bersyukur kerana Yusri bukanlah jenis personaliti pemberontak dan dia tetap ‘cool’ mengendalikan anak-anak buahnya di tepi padang penuh ‘stylo’ untuk mencatat kemenangan berharga.

Persoalan saya kepada kakak Presiden KAFA yang amat saya hormati, apa kurangnya Yusri dan mengapa tidak diberikan peluang kepada anak jati Kangar itu untuk membimbing Kelantan sepenuhnya? Belajarlah daripada kesilapan musim lalu apabila Zahasmi Ismail yang sedang elok melatih diketepikan dan Kelantan hampir-hampir sahaja jatuh ke Liga Premier 2017.

Apa kurangnya jurulatih tempatan?

Berdasarkan kepada keputusan-keputusan Liga Premier dan Liga Super selepas lima minggu, jelas tidak berpihak kepada pengendali-pengendali asing seperti Benjamin Mora, Fabio Maciel Almeida maupun Jorg Steineburner.

Ramon Marcote, Eduardo Almeida malah Mehmet Durakovic juga masih belum selamat kedudukan mereka bersama pasukan masing-masing.

Dilaporkan beberapa jurulatih tempatan sekarang sedang diintai, dirisik dan bakal dilamar andai keputusan negatif masih melanda jurulatih-jurulatih asing ini. Tak perlu saya sebutkan nama-nama mereka sekadar untuk saya katakan mereka sudah lama menanti, cukup berkemampuan, bersyarat diberikan sepenuh kepercayaan dan ruang masa untuk mereka berkarya.

Yakinilah kemampuan mereka!

Tidak sempat untuk menilai keupayaan Ulises Morais musim ini dia lebih dahulu meletakkan jawatan atas faktor peribadi dan digantikan pembantunya di JDT, Raul Longhi. Jurulatih berusia 65 tahun dan berasal dari Mar Del Plata Argentina itu sudah pasti tidak menghadapi banyak masalah membimbing JDT memandangkan beliau sudah berada bersama skuad Harimau Selatan sejak 2015.

Apapun saya tetap ‘tabik spring’ kepada jurulatih-jurulatih berpengalaman seperti Haji Irfan Bakti, Datuk K.Rajagopal, Dollah Salleh maupun B.Sathianathan yang berjaya membimbing kelab dan pasukan masing – masing...setakat ini.

Wassalam

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen