Beralih arah dari dunia bola sepak ke dunia pornografi

Oleh Ammar Hakim 30 April 2018 65104
Beralih arah dari dunia bola sepak ke dunia pornografi
Impian untuk mencipta populariti dan kekayaan sebagai pemain bola sepak tidak seperti yang disangkakan oleh salah seorang pemain kelahiran Itali hingga bertukar karier sebagai pelakon filem lucah.
 
Seorang pemain bola sepak profesional memiliki tempoh lima hingga 10 tahun untuk berada di kemuncak. Sesetengah pemain memiliki tempoh yang panjang dan ada yang gagal mencapai tahap terbaik. Di sebalik menikmati keterujaan di atas padang, rata-rata pemain mencari peluang untuk mendapatkan kemasyhuran, penghormatan dan paling penting -- duit.
 
Davide Iovinella
 
Gagal mencipta impak sebagai pemain dalam saingan Serie D bersama ASD Calcio Pomigliano, Davide Iovinella, memilih untuk bersara daripada bola sepak pada usia 24 bagi mencari peluang menambah pendapatannya.
 
Iovinella -- yang kini lebih dikenali sebagai 'Davide Montana' telah cuba menempah nasib untuk berlakon -- dalam filem pornografi.
 
Selepas berjaya dalam sesi ujibakat, dia merupakan salah seorang daripada 3,000 yang terpilih bakal muncul dalam filem yang akan diarahkan oleh Rocco Siffredi.
 
Eric Cantona
 
Salah seorang pemain terbaik dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Eric Cantona mencipta nama bersama Leeds United sebelum bersama Manchester United. 
 
Kelincahan serta ketajamannya di depan gol menjadikan pemain kelahiran Perancis ini salah seorang berbisa di England.
 
Pada penghujung kariernya, Cantona mengambil keputusan untuk beralih ke bidang lakonan dan membintangi filem Elizabeth (1998) dan Looking for Eric (2009).
 
"Ia seperti disiplin. Bola sepak dan lakonan adalah platfom untuk meluahkan diri sendiri. Anda perlu mendalami bidang ini untuk mendapatkan teknik yang terbaik," kata Cantona.
 
Bixente Lizarazu
 
Lizarazu meraih kejayaan di peringkat kelab dengan memenangi kejuaraan liga di Perancis dan Jerman sebelum menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL) bersama Bayern Munich. Di peringkat antarabangsa, bersama Les Bleus -- Lizarazu menjuarai Piala Dunia 1998 dan Euro 2000.
 
Selepas meninggalkan bola sepak, Lizarazu mengambil seni mempertahankan diri, Brazilian Jiu-Jitsu (BJJ) dan muncul juara selepas 18 bulan mendalami sukan ini.
 
"Ia merupakan satu pengalaman yang menarik. Satu lawan satu. Anda tidak mempunyai rakan untuk memberikan sokongan seperti bola sepak. Ia meningkatkan tahap keyakinan saya," katanya.
 
Andriy Shevchenko
 
Penyerang kelahiran Ukraine ini merupakan antara tunjang kejayaan AC Milan pada era 90-an dan awal 2000 -- membantu pasukan menjuarai Serie A, Coppa Italia serta UCL dan menjaringkan 173 gol sepanjang di Itali.
 
Shevchenko telah diberikan peluang untuk mengemudi skuad kebangsaan tetapi mengambil keputusan untuk menolak bagi memberikan ruang untuk memasuki dunia politik. 
 
Bagaimanapun, dia menemui jalan buntu -- sama seperti kariernya sebagai pemain bola sepak selepas berhijrah ke England bersama Chelsea.
 
Ramon Ray Wilson
 
Salah seorang pemain bek kiri pernah dihasilkan oleh England, Ray Wilson memiliki sifat sebagai seorang pertahanan yang serba boleh. Diberikan nama sempena pelakon Mexico, Ramon Navarro, Wilson memulakan karier di Huddersfield Town sebelum berhijrah ke Everton untuk menempah kejayaan dalam saingan Piala FA.
 
Saat terbaik Wilson adalah pada 1966 apabila England mencipta kejayaan menjuarai Piala Dunia di laman sendiri ketika dia berusia 32 tahun. 
 
Selepas meninggalkan dunia bola sepak, Wilson menyertai perniagaan bapa mertuanya sebagai penggali kubur di Huddersfield -- satu tranformasi karier yang pelik daripada pemenang Piala Dunia.
 
Tim Wiese
 
Penjaga gol akrobatik dan berbakat, penjaga gol Werder Bremen ini memiliki kualiti untuk menjadi salah seorang penjaga gol bertaraf dunia tetapi gelagatnya di luar padang ternyata menjadi punca penurunan prestasinya.
 
Gagal untuk benar-benar cemerlang dalam arena bola sepak, Wiese meluangkan masa di dalam gimnasium untuk mendapatkan tubuh badan yang lebih sasa dan menyertai dunia gusti -- WWE pada usia 32 tahun.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen