Azizul No.1 dunia 

Oleh Bazly Azmi 13 January 2019 75965
Azizul No.1 dunia 
Tahniah kepada jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang, apabila meraih pingat emas acara pecut individu Kejohanan Asia di Jakarta, Indonesia.

Ia prestasi menakjubkan apabila dia turut meraih emas Sukan Asia 2018 dalam acara sama. Nampaknya, Azizul gergasi utama pecut benua ini.
 
Saya sempat bersembang dengan Azizul selepas dia terpilih dalam senarai lima finalis Anugerah Jagoan Nadi Arena (AJNA) 2018.

Dia tidak sangka terpilih buat kali kedua berturut-turut selepas tewas tipis kepada penerjun negara, Cheong Jun Hoong, dalam AJNA 2017.

"Tapi aku rasa atlet lain akan menang," itu komen ringkas Azizul yang sedang menyertai Kejohanan Trek Asia di Jakarta, Indonesia.

Saya kemudian melihat laman Instagram The Pocketrocketman: "Ia perlumbaan yang penuh taktikal. Tapi saya gembira Shah (Firdaus) berjaya raih perak dan menambah mata untuk kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam keirin.

Walaupun Azizul raih tangga kelima, namun realitinya dia kini sudah memintas pelumba Australia, Matthew Glaetzer, untuk merampas ranking pertama dunia acara keirin!

Saya sudah menulis mengenai perkara ini minggu lalu bahawa Azizul akan memintas Glaetzer dengan hanya perlu sekurang-kurangnya menyertai ACC.

Ketua jurulatih basikal negara, John Beasley: "Sesuatu yang baik untuk melihat dia kembali berada di ranking pertama dunia. Tetapi misi kami ialah pingat emas Sukan Olimpik Tokyo.

"Saya akan persiapkan Azizul untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Poland (bermula 27 Februari)."

Ini bermakna Azizul akan menarik diri dalam baki siri Piala Dunia di New Zealand dan Hong Kong untuk fokus terhadap latihan menjelang Kejohanan Dunia.

Dia pernah menghuni ranking pertama dunia keirin 2017 dan pada tahun sama, muncul juara dunia.

Jadi, kejayaan merampas gelaran ranking pertama dunia bukan sesuatu yang baru untuk pelumba berusia 31 tahun itu. Apa pun, ia tetap pembakar semangat untuk raih lebih banyak kejayaan.

Pelumba keirin nombor satu dunia.

Rakyat Malaysia patut menyebutnya dengan rasa bangga!

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen