Apa ada untuk 2018?

Oleh Ezreen Isa 1 January 2018 204
Apa ada untuk 2018?
Pejam celik pejam celik, tahun 2017 berlalu dengan pelbagai coretan mewarnai sukan tempatan. Saya bukan wartawan untuk menceritakan kembali soroton sukan tempatan atau antarabangsa, namun sebagai seorang pengamal media, izinkan saya berkongsi daripada sudut pandang seorang jurukamera.

Sebagai seorang perakam kejadian dan peristiwa penting sukan tempatan, banyak kekangan dan halangan yang terpaksa ditempuhi. 

Antara masalah-masalah lazim dihadapi, tidak dibenarkan merakam di lokasi kejadian meskipun sudah mempunyai pas media, tempat yang disediakan pihak penganjur kepada pengamal media tidak cukup syarat, tetapi itu semua saya menganggap sebagai lumrah bekerja dalam bidang ini.

Sebenarnya, bukanlah karpet merah yang dimahukan, cukuplah kami diberikan hak sewajarnya untuk merakam dan membuat kerja kami. 

Tugas hakiki kami merakamkan dan membuat liputan, namun jika hendak merakam pun ada batasan, kadang kala merencatkan sikit emosi dan hasil kerja kami. Ya kami faham jikalau latihan melibatkan taktikal memang tidak boleh dirakam dan didedahkan. Ia seolah-olah memberi maklumat pada pihak lawan.

Namun, ada juga yang memberi kerjasama penuh. Malah ada yang terlalu mesra. Untuk anda tahniah kami ucapkan. Diharapkan ia berterusan dan bertambah baik.

Untuk 2018, selaku jurukamera di salah satu saluran sukan tanah air, tiada lain yang saya harapkan adalah pemahaman pihak terlibat untuk memahami tugasan kami dalam memberi gambaran dan visual yang menarik untuk tontonan umum. 

Anda senang, kami senang, semua tenang. Kata orang, tenang pasti menang. Dan semoga kontinjen Malaysia terus berjaya untuk Sukan Komanwel di Gold Coast, Autralia, dan juga Sukan Asia di Indonesia.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen