Antara Piala Dunia & Liga Malaysia 

Oleh Dayne Azmin 14 June 2018 1015
Antara Piala Dunia & Liga Malaysia 
Ketika ramai menantikan kehangatan Piala Dunia, mungkin sudah ada terlupa kerancakan Liga Malaysia yang masih berlangsung, terutama bahang separuh akhir Piala FA kian terasa selain persaingan kejuaraan Liga Super dan Liga Perdana.

Malang sekali Liga Malaysia terpaksa dilangsungkan ketika satu dunia demam menantikan aksi-aksi berkelas dunia yang acaranya dilangsungkan empat tahun sekali.

Jujur atau tidak, Liga Malaysia yang baru terasa dengan kesan sambutan dingin peminat di bulan puasa, mungkin bakal terima penangan sekali lagi gara-gara Piala Dunia yang berlangsung selama sebulan ini.

Berdasar waktu perlawanan di peringkat kumpulan, banyak aksi akan dimainkan pada jam 8 malam, sekali gus menjadikan kehadiran penonton di setiap gelanggang pasti akan turun mendadak.

Mereka pasti lebih menanti rentak memukau pemain-pemain terbaik dunia beraksi seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Mohamad Salah atau aksi berkelas dunia pasukan jagoan, Jerman, Brazil, Perancis dan Argentina. 

Walaupun semua perlawanan Liga Malaysia ada ditayangkan secara langsung sama ada di kaca televisyen atau di gajet masing-masing, peminat mungkin hanya memilih untuk sekadar ketahui keputusan pasukan yang mereka sokong.

Jangan difikirkan cadangan tangguhkan Liga Malaysia bagi memberi laluan Piala Dunia kerana sememangnya sudah tiada lagi ruang Malaysia Football League(MFL) berbuat demikian tambahan persiapan skuad negara di Piala AFF penghujung tahun ini akan menjadi keutamaan.

Jawapannya terletak kepada diri sendiri, jika kalau bukan kita yang menyokong bola sepak tempatan, siapa lagi akan berbuat demikian?

Kehadiran penonton yang ramai pasti beri kesan besar kepada psikologi pasukan dan paling penting, kantung tiap pasukan yang bertanding bagi segi penjualan tiket.

Tidak salah menonton aksi Piala Dunia sepanjang bulan ini namun jika pasukan kegemaran kita turun beraksi, turunlah ke stadium berikan sokongan kerana setiap pasukan perlukan pemain ke-12 di belakang mereka.

Liga Kita... Wajah Kita...

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen