Verstappen tidak terkesan dengan kritikan -- Jos

Oleh Staff Writer 17 November 2016 4
Verstappen tidak terkesan dengan kritikan -- Jos

Cara pemanduan agresif Max Verstappen mungkin mencetuskan kemarahan beberapa pemandu Formula 1 lain, namun pelumba pasukan Red Bull itu langsung tidak mengambil peduli akan perkara itu, tegas ayahnya, Jos Verstappen.

Pemandu berusia 19 tahun itu yang kini memasuki musim keduanya dalam F1 telah menerima kritikan daripada mereka yang lebih berpengalaman -- Jenson Button, Kimi Raikkonen dan Sebastian Vettel -- ekoran gemar memotong kenderaan lain dengan taktik berisiko.

Tindakannya yang gemar mengubah haluan ketika sedang membrek telah dilabel 'membahayakan' sehingga memaksa pihak Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengenakan peraturan baharu bulan lalu.

Bagaimanapun, peraturan tersebut langsung tidak memberi kesan terhadap Verstappen, sebaliknya dia mempamerkan pemanduan mantap untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam GP Brazil minggu lalu.

Ayahnya, yang turut merupakan bekas pemandu F1, mendedahkan bahawa kritikan tidak akan memberikan kesan terhadap anaknya itu, sebaliknya hanya akan memantapkan lagi teknik pemanduannya.

"Dia akan bertambah maju," Jos Verstappen memberitahu pihak media.

"Dia baru berusia 19 tahun dan jika dia dapat mengekalkan prestasinya ketika ini, kita akan dapat melihat pelbagai aksi menarik dalam beberapa tahun akan datang.

"Dia tidak peduli akan kecaman dilontarkan terhadapnya. Dia akan berkata 'tiada apa pun'. Dia tidak mengambil kisah." 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen