Walaupun jaguh berbasikal negara Datuk Azizulhasni Awang bermula dengan baik sejak kembali daripada masalah kesihatan menjelang Sukan Asia, September lalu, Majlis Sukan Negara (MSN) kekal dengan indikasi keseluruhan hanya akan diketahui bulan depan.

Timbalan Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, menyasarkan Kejohanan Piala Negara Negara UCI di Hong Kong pada 16 Mac depan sebagai jawapan kepada laluan Azizuhasni ke Sukan Olimpik Paris.

Diramalkan situasi itu bukan masalah besar buat Azizulhasni berikutan dia kini di kedudukan kutipan mata yang selesa mengejar slot Paris 2024 di tempat kelima dunia, bagi acara keirin sementara ketujuh dunia untuk acara pecut.

Jika ia berlaku, pelumba berumur 36 tahun itu dijangka akan mengenepikan kejohanan yang sama di Kanada pada 12 hingga 14 April depan.

" Semua pelumba seluruh dunia akan turun. Kita boleh nampak sama ada persiapan kita buat sebelum ini boleh memberi saingan ataupun tidak.




"Kalau sebelum ini ada berapa negara tidak ikut serta. Dalam pusingan ke Olimpik, kebiasaannya negara kuasa besar tidak menurunkan pelumba ternama mereka dalam kejohanan tertentu.

"Piala Negara-Negara ini adalah yang terakhir. Kita akan dapat mengenal pasti prestasi pelumba lain," katanya.

Azizul memilih Melbourne sebagai tempat latihan terbaiknya walau pada awalnya dia telah pulang ke Malaysia tahun lalu untuk menjalani kem latihan bersama dengan rakan senegara yang lain.

Nampaknya keputusan itu berjaya membuahkan hasil, menerusi langkah kanannya di Adelaide pada sabtu.