Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki daripada segi corak permainannya.

Ini selepas pemain di ranking ke-10 dunia itu tewas mudah dalam set kedua aksi separuh akhir Piala Thomas menentang jaguh tuan rumah, Shi Yuqi, di Chengdu malam tadi.

Berdepan lawan di ranking kedua dunia itu, Zii Jia memberikan tentangan sengit dalam set pertama sebelum tewas 19-21.

Bagaimanapun, seakan-akan ada yang tidak kena dengannya apabila tewas mudah 5-21 dalam set kedua.

"Corak permainan saya masih belum stabil," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syifa Nasir.

"Kalau anda lihat dalam set kedua, ia seperti orang lain yang sedang bermain.

"Bagi saya, ia satu masalah yang perlu kami selesaikan selepas ini.

Malaysia gagal menamatkan penantian 10 tahun ke final Piala Thomas selepas tewas 1-3 kepada China dalam aksi separuh akhir malam tadi.