Malaysia merekodkan kemenangan bergaya ke atas New Zealand dalam aksi Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang berlangsung di Ipoh sebentar tadi.

The Speedy Tigers bangkit daripada kekecewaan tewas 4-5 kepada Pakistan dalam perlawanan pertama apabila berpesta gol 6-2 ke atas Kanada pada aksi kedua Piala Sultan Azlan Shah 2024.

Menggunakan momentum kemenangan dalam perlawanan terdahulu, skuad kendalian Sarjit Singh terus mempamerkan corak permainan cemerlang apabila turun ke gelanggang bertemu New Zealand.

Suku pertama menyaksikan Malaysia garang menampilkan corak permainan pantas apabila berjaya menjaringkan tiga gol dalam tempoh empat minit -- bermula dengan jaringan padang Faizal Saari seawal minit kedua, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal melengkapkan pukulan sudut pada minit kelima sebelum Azimuddin Syakir Kamaruddin memastikan Malaysia berkelebihan tiga jaringan seminit kemudian.

Malaysia terus menghambat lawan dengan jaringan keempat dan gol kedua perlawanan buat Azrai Aizad pada minit ke-14.

New Zealand mula menemui rentak apabila berjaya mendapatkan gol menerusi Jake Smith dan Jonty Elmes bagi merapatkan kedudukan.

Ketika New Zealand cuba untuk mengejar permainan, Malaysia terus mengasak kubu pertahanan lawan dan berjaya meledak gol kelima menerusi Muhajir Abdu Rauf pada minit ke-52.

Azrai berjaya melengkapkan hatrik perlawanan di penghujung permainan sekaligus memastikan Malaysia menamatkan perlawanan dengan kemenangan 6-4.

Jepun bakal menjadi lawan berikutnya buat Malaysia dalam perlawanan yang dijadualkan berlangsung malam esok.