Thiago Silva akan kembali ke Fluminense sebaik meninggalkan Chelsea di penghujung musim, demikian pengumuman The Blues.

Silva menyertai Chelsea daripada Paris Saint-Germain (PSG) pada 2020 dan telah membuat 152 penampilan bersama kelab itu dengan membantu mereka memenangi Liga Juara-Juara (UCL), Piala Dunia Kelab dan Piala Super.

Pertahanan berusia 39 tahun itu pada bulan lalu mengesahkan bahawa dia akan berkelana apabila kontraknya tamat pada bulan depan dan berjanji untuk kembali memainkan peranan berbeza sebaik sejurus kariernya sebagai pemain berakhir.

Bagaimanapun, dia tidak akan berehat lama lama memandangkan bek tengah itu telah memeterai kontrak dua tahun bersama Fluminense yang pertama kali disertainya ketika berusia 14 tahun pada 1998.


View this post on Instagram

A post shared by Thiago Silva (@thiagosilva)



Peluangnya untuk menyerlah bersama gergasi Rio de Janeiro itu tipis yang menyaksikannya sempat dipinjamkan ke Pedrabranca, Juventude dan Dynamo Moscow sebelum kembali ke Fluminense secara pinjaman pada 2006.

Dia kemudian mencipta namanya bersama kelab itu sebelum menyertai Milan pada 2009 dan langkah itu memulakan kerjaya cemerlang pertahanan itu Eropah.




Silva mengumumkan dia akan kembali ke Brazil di Instagram dengan menyiarkan imej dirinya menyarung jersi Fluminense bersama kapsyen: "Saya pulang ke kampung halaman".

Chelsea berkata Silva akan dibenarkan berlatih dengan Fluminense sebaik sahaja musim Liga Perdana Inggeris berakhir sebelum layak mewakili pasukan Brazil itu pada 1 Julai.