West Ham United telah mengesahkan pengurus, David Moyes, akan meninggalkan kelab itu selepas kelabnya gagal berada di prestasi terbaik menuju penamat liga musim ini.

Mengikuti perjalanan Moyes bersama West Ham, kali pertama pengurus berusia 61 tahun ini datang ke kelab itu ialah pada 2017 dengan kontrak jangka pendek selama 6 bulan.

Ketika itu misinya ialah menyelamatkan The Hammers daripada tersingkir keluar ke Liga Kejuaraan dan Moyes berjayanya melakukannya.

Selepas itu, Moyes kembali semula pada pertengahan musim 2019/2020 menggantikan Manuel Pellegrini, sekali lagi mengambil tanggungjawab dengan misi yang sama, kekalkan West Ham di saingan Liga Perdana Inggeris.

"Ketika saya sertai semula West Ham buat kali kedua, pasukan ini hampir tersingkir dan berada di zon relegasi, dan sekarang pasukan ini telah melalui musim menakjubkan selama 3 musim berturut-turut," kata Moyes.

Kejayaan tertinggi Moyes ialah membawa pasukan itu muncul Juara Liga Konfederasi pada musim lalu atasi Fiorentina dengan keputusan 2-1.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pemain yang telah berikan sokongan hingga mencapai kejayaan yang diinginkan sepanjang hampir 5 tahun ini," tambah Moyes.

Kekosongan yang ditinggalkan Moyes akan diisi oleh bekas pengurus Wolverhampton Wanderers iaitu Julen Lopetegui yang telah bersetuju untuk membimbing kelab berpangkalan di London itu.