GP Mexico: Tempat ketiga Vettel dibatalkan

Oleh Staff Writer 31 Oktober 2016 1
GP Mexico: Tempat ketiga Vettel dibatalkan

Kedudukan ketiga yang diraih Sebastien Vettel di GP Mexico telah dibatalkan ekoran melakukan kesalahan 'moving under braking' ketika dalam percubaannya mengekang asakan Daniel Ricciardo dari pasukan Red Bull.

Vettel, yang memandu jentera Ferrari, pada awalnya menduduki tempat keempat sebelum insiden memotong selekoh dan keengganan memberi ruang memaksa Max Verstappen dikenakan penalti lima saat, sekaligus kehilangan tempat menaiki podium.

Namun, memasuki pusingan terakhir, Vettel yang mempamerkan pemanduan bertahan, melakukan kesalahan 'moving under braking' ketika cuba menghalang Ricciardo.

Ketika Vettel menaiki podium untuk menerima trofi, Red Bull membuat aduan rasmi terhadap bekas pelumbanya itu.

Pengelola perlumbaan mendapati juara dunia empat kali itu telah melanggar peraturan perlumbaan, sekaligus dilucutkan tempatnya ke kedudukan kelima.

Kesalahan tersebut secara rasminya telah diguna pakai ketika di Texas sebelum ini apabila Verstappen didapati membuat tindakan sama.

Pengelola perlumbaan mendapati Vettel membuat pergerakan yang tidak normal ketika sedang membrek sehingga menyebabkan jentera Ferrari dan Red Bull milik Ricciardo bersentuhan, sekaligus memastikan Vettel kekal di depan.

"Klip video yang diperoleh dari litar dan kamera kedua pelumba membuktikan terdapat pergerakan tidak normal oleh Vettel, dan kami melihat tindakan tersebut membahayakan kedua-dua pelumba.

"Tindakan Vettel turut memaksa Ricciardo terpaksa mengelak bagi menghindarkan berlakunya insiden tidak diingini."

Situasi itu menyebabkan tempat ketiga menjadi milik Ricciardo yang pada awalnya menamatkan perlumbaan di tempat kelima manakala tempat keempat menjadi milik Verstappen.

Ricciardo

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen