Kapten skuad badminton Piala Thomas, Soh Wooi Yik selesa andai tanggungjawab memikul tugasan penting di Chengdu digalas bersama dua rakan sepasukan, Aaron Chia dan Lee Zii Jia.

Gelaran kapten sepenuhnya tergalas di bahu Wooi Yik tapi dia terbuka andai, Aaron mahupun Zii Jia membantu dari segi persediaan pasukan sebelum berangkat ke China Rabu ini.

Bagi Wooi Yik, tanggungjawab selaku kapten buat kali pertama itu memberikan rasa berbeza untuk penampilan di Piala Thomas kali ini.

Memang membakar dan tambah motivasi. (Saya sudah tengok) Piala Thomas sejak kecil dan ini permainan berkumpulan bukan sendiri (jadi) kena menang baru dapat ganjaran.

"Ikatan (antara pemain) mesti bagus dan saling tolong-menolong sebab bukan selalu (kejohanan ini). Saya fokus kepada permainan dan tidak fikir banyak sangat pasal ganjaran,” katanya menerusi Nadi Arena.

Wooi Yik tidak menafikan, ganjaran menjadi pembakar semangat namun mereka perlu melepasi syarat yang cukup besar.

"Kita pergi sebagai satu pasukan dan saling membantu sebab anggota pasukan bukan sahaja saya, ada Aaron dan Zii Jia membantu menyelesaikan masalah sebab ada junior jarang berhubung dengan mereka sekarang lebih rapat jadi harap (dapat) pamerkan semangat baik di Piala Thomas,” katanya.