Kemanisan menjulang Piala Thomas 1992 merupakan suatu detik terindah pernah dilakar pemain badminton kebangsaan.

Namun, memori tersebut sehingga kini hanyalah sejarah.

Skuad negara pada ketika itu dibarisi perseorangan lelaki negara, Datuk Rashid Sidek, Foo Kok Keong, Datuk Razif Sidek, Datuk Jailani Sidek, Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang nyata memberikan impak besar dengan kejayaan menewaskan Indonesia 3-2 dalam aksi penuh bersejarah itu.

Harus juga diingat, skuad kebangsaan pernah empat kali berada sangat hampir di kemuncak menjulang Piala Thomas dalam empat edisi selepas 1992, namun terpaksa berpuas hati sebagai naib juara pada 1994, 1998, 2002 dan 2014.

Kini, skuad kebangsaan dibarisi Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei, Justin Hoh, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani, Goh Sze Fei, Muhammad Haikal Nazri manakala Choong Hon Jian pula menggantikan Ng Tze Yong yang masih berdepan kecederaan belakang.

Benar ada peningkatan dari beberapa pemain seperti Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei, namun secara keseluruhan pemerhati menjangkakan skuad negara agak sukar untuk merangkul kejuaraan edisi kali ini.

Antara pemerhati sukan negara yang menafikan pemilihan pemain yang dibuat BAM adalah Penganalisis Sukan, Mohd Sadek Mustafa dan bekas perseorangan negara, Roslin Hashim, yang melihat majoriti pemain muda perlu diberi ruang untuk berada pada kempen Piala Thomas kali ini.

Bagaimanapun, segala-galanya anggapan tersebut mampu disangkal skuad negara andai mempamerkan prestasi yang membanggakan dan menjuarai Piala Thomas tatkala ada yang yakin dan tidak kurang pula yang tidak begitu percaya dengan skuad kali ini.