Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara kendalian Juan Torres Garrido yang menamatkan kempen Piala Asia B-23 2024 di Qatar dengan menduduki tangga tercorot Kumpulan D.

Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell berkata, beberapa faktor telah dikenal pasti sebagai punca kepada skuad muda negara itu pulang tanpa sebarang mata apabila tewas ketiga-tiga perlawanan kepada Uzbekistan 2-0, Vietnam 2-0 dan Kuwait 2-1.

Menurutnya, aspek kecergasan perlawanan (match fitness) menjadi penyebab utama para pemain terbaik Harimau Muda yang dikumpulkan dalam skuad berkenaan gagal memberikan saingan terbaik pada kejohanan yang disertai 16 pasukan terbaik Asia itu.

"Masalah utama dalam skuad Harimau Muda ini ialah kekurangan masa permainan atau jumlah perlawanan yang dimiliki setiap pemain terbaik dalam skuad B-23 yang kita ada ini.

"Jika kita lihat menerusi statistik, tak ramai pemain dalam skuad ini yang mendapat minit permainan bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Super musim lalu. Hanya empat pemain.

"Penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel dengan 2,250 minit bersama Negeri Sembilan FC, Mukhairi Ajmal dengan 1,684 minit bersama Selangor FC, T. Saravanan dengan 1,252 minit bersama Kuala Lumpur City dan Safwan Mazlan dengan 1,063 minit bersama Terengganu FC.

"Selebihnya pemain-pemain lain hanya memiliki minit permainan kurang daripada itu dalam saingan Liga Super 2023," ujarnya.

Kekurangan minit permainan tersebut menurut O'Donell, ditambah pula dengan keadaan semasa yang mana Liga Malaysia sedang berehat panjang sejak Januari lalu sementara menantikan musim baharu 2024/25 bermula 10 Mei depan, sekali gus menyumbang kepada kesan lebih teruk membabitkan aspek kecergasan perlawanan.

"Ketiga-tiga pasukan dalam Kumpulan D iaitu Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait, kesemuanya liga domestik mereka sedang rancak berjalan dan sebagai perbandingan, kita boleh lihat yang para pemain mereka berada pada tahap kecergasan terbaik di sepanjang kempen Piala Asia B-23 2024 ini.

"Sedangkan kita mula berkumpul pada 17 Mac lalu dan pemain-pemain yang bersama skuad senior serta beberapa pemain lain hanya menyertai pasukan, seminggu kemudian.

"Ditambah pula dengan kebanyakan pasukan kelab ketika itu belum memulakan lagi siri latihan pramusim Liga Super menjadikan pemain-pemain yang datang ke kem latihan pusat skuad B-23 negara ini pada tahap kecergasan yang cukup rendah," ujarnya.

O'Donell juga menegaskan bahawa FAM perlu melihat semula kepada penstrukturan pertandingan peringkat bawah umur di negara ini supaya para pemain muda kita mendapat lebih perlawanan kompetitif.

"Menurut Persatuan Kelab-Kelab Eropah (ECA), purata jumlah perlawanan yang perlu dimainkan setiap pasukan remaja kelab di Eropah adalah dalam lingkungan 35 hingga 50 perlawanan setahun.

"Untuk Piala MFL 2023 (pertandingan B-23 kebangsaan), jumlah perlawanan minimum ialah 12 perlawanan dan maksimum 20 perlawanan bagi pasukan yang layak ke final.

"Jika seseorang pemain muda itu bermain dengan pasukan yang berada di kedudukan terbawah, dia hanya akan bermain 12 perlawanan kompetitif secara maksimum di sepanjang musim lalu.

"Piala Presiden 2023 (pertandingan B-20 kebangsaan) pula minimum 13 perlawanan dan maksimum 16 perlawanan, Piala Belia 2023 (pertandingan B-18 kebangsaan) minimum 11 perlawanan dan maksimum 14 perlawanan manakala Liga SupaRimau (pertandingan peringkat akar umbi) dengan minimum 24 perlawanan di sepanjang tahun," jelas beliau.

Bagaimanapun, format pertandingan-pertandingan tersebut telah ditambah baik oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan FAM bagi saingan musim 2024 ini dengan setiap pasukan di Piala MFL akan bermain sejumlah 24 perlawanan, Piala Presiden minimum 14 perlawanan dan maksimum 20 perlawanan manakala Piala Belia minimum 16 perlawanan dan maksimum 22 perlawanan semusim.

Selain itu, O'Donell juga berharap agar skuad B-23 negara perlu menggunakan jendela antarabangsa FIFA dengan lebih baik pada masa akan datang.

"KIta perlu memberikan mereka lebih pendedahan antarabangsa untuk bermain sebagai satu pasukan menentang pasukan B-23 kebangsaan negara lain dan bukan hanya menyediakan pasukan kita sebelum kejohanan B-23 seperti AFC dan Sukan SEA.

"Jika kita tidak dapat mengaturkan perlawanan persahabatan antarabangsa B-23 pun, kita sekurang-kurangnya boleh mengadakan kem latihan untuk memberi peluang kepada jurulatih lebih mendekati pemain pada setiap jendela antarabangsa FIFA.

"Kita harus menerima hakikat bahawa kita tidak selalunya akan dapat menggunakan pemain-pemain terbaik untuk skuad B-23 negara, jadi kita harus mengembangkan lagi senarai pemain B-23 yang layak bersama skuad muda negara," ujarnya.

Tambah O'Donell, beliau bersama-sama Juan Torres, pengendali Harimau Muda akan menyediakan laporan lengkap Piala Asia B-23 2024 untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan-pasukan Kebangsaan FAM.-Sinar