Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, berikrar untuk memeluk rakan sepasukannya dalam kem Sepanyol, Gerard Pique, biarpun sering bercanggah pendapat. 

Bahang pemburuan gelaran LaLiga di antara Madrid dan Barcelona semakin dirasai apabila kedua-dua pemain berkenaan saling berbalas pandangan secara umum, terutama membabitkan keputusan pengadil. 

Namun, Ramos mahu perkara itu diketepikan dalam tugasan antarabangsa apabila Sepanyol bersiap untuk menghadapi Israel dalam kempen kelayakan Piala Dunia, sebelum turun menentang Perancis dalam perlawanan persahabatan. 

"Apa yang berlaku di antara Real Madrid dan Barcelona tidak akan berubah," katanya dalam sidang media kepada AS. 

"Sekarang, saya akan memberinya satu pelukan. Kami sering melontarkan pandangan tapi kami harus menerimanya tanpa sebarang dendam dan ia sentiasa sesuatu yang menyihatkan.

"Itulah topik yang anda boleh jual. Kunci utamanya adalah perpaduan dalam pasukan, itu tidak boleh hilang."

Madrid kini menerajui LaLiga, dua mata mengatasi Barcelona.

Ramos, 30, berjaya merobek gawang lawan sebanyak 10 kali musim ini -- kali pertama dia mencapai angka 10 jaringan dalam kariernya.

"Saya tidak jangka dapat menjaringkan banyak gol. Ia adalah rekod jaringan terbaik dalam karier saya, namun saya tidak mahu terlalu memikirkannya," tambahnya. 

"Sebagai pemain pertahanan, saya hanya memikirkan untuk tidak dibolosi. Jika saya dapat menyumbat gol penting pada penghujung perlawanan, ia lebih bagus."