Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan dua atlet angkat berat yang positif ujian doping digantung daripada program "Kita Juara 2017".

Menurut Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, penggantungan itu berkuatkuasa serta-merta selepas Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengumumkan dua atletnya didapati positif bagi steroid pada Jumaat lalu.

Identiti mereka, bagaimanapun, tidak didedahkan dan mereka mempunyai tempoh dua minggu bagi mencabar keputusan sampel B.

"Setakat ini, kita gantung dia daripada program "Kita Juara". Dia tidak akan mendapat apa-apa pakej daripada Majlis Sukan Negara sehingga mereka membuat keputusan sama ada akan merayu sampel B diuji ataupun tidak. Sehingga itu, kita kekalkan mereka sebagai atlet yang digantung daripada program "Kita Juara"," katanya.

Shapawi turut menjelaskan pihaknya sudah pun bertemu dengan kedua-dua atlet berkenaan sebaik sahaja mereka dihantar pulang dari kem latihan di China.

Mereka telah diberi penerangan terhadap kes ini dan diberi pelepasan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Jika enggan menjalani ujian sampel B, mereka berdepan hukuman tatatertib oleh PABM dan juga penggantungan mandatori selama empat tahun.