Goh Soon Huat, Zulfadli Zulkifli, Soo Teck Zhi dan Wei Feng merupakan antara pemain yang bakal dipilih untuk menyertai skuad Piala Thomas tetapi Chong Wei mahu Wei Feng untuk menyertai pasukan dan menjadi pemain perseorangan ketiga kerana  pengalaman dimilikinya dalam acara berpasukan.

"Dia sentiasa beraksi cemerlang dalam kejohanan berpasukan sehingga digelar 'Team King' (menang semua perlawanan). Kejohanan berpasukan dan individu berbeza, malah tekanannya juga berbeza. 

"Bukan saya mahu katakan yang dia perlu disenaraikan dalam pasukan tetapi saya hanya mencadangkan yang terbaik. Semua keputusan bergantung kepada Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen dan jurulatih," kata Chong Wei.

Berdasarkan rekod, Wei Feng beraksi cukup cemerlang dalam setiap kejohanan berpasukan disertainya, termasuk Piala Thomas 2014 di New Delhi, India.

Ketika itu, Wei Feng yang menggalas tugas perseorangan kedua, menang dalam semua perlawanan kecuali ketika aksi final bertemu Jepun yang menyaksikannya tewas kepada Kento Momota. 

Pada kempen di Kunshan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, Jerman dan England.