Kedua-dua pasukan berentap pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang menyaksikan City Flyers muncul pemenang dan berakhir sebagai naib juara liga sekaligus meraih hadiah wang tunai RM5,000 tatkala ATM berputih mata sekadar berpuas hati di tempat ketiga.

Dan menjelang aksi separuh akhir, ATM dilihat sudah bersedia untuk tampil dengan prestasi yang lebih baik dan melibas City Flyers, sepertimana diakui jurulatihnya Aswadi Abdullah.  

“Kita ada ruang persiapkan pasukan hampir tiga minggu, jadi InshaAllah kita ada tempoh yang cukup untuk perbaiki setiap kelemahan yang ketara kelihatan tempoh hari. Servis dan pertahanan masih boleh ditambahbaik, kita juga perlu lebih konsisten kerana adakalanya pemain teruja mahu terlalu cepat habiskan permainan dan buat kesilapan.

“Saya jamin ATM yang akan beraksi di separuh akhir adalah pasukan yang lebih baik berbanding peringkat kumpulan. Kita tewas kepada City Flyers dan kini kita mahu tewaskan mereka. Kita tahu City Flyers juga akan turun dengan strategi terbaik tapi saya percaya pada pemain saya, mereka dahagakan kemenangan,” ujar Aswadi.   

Pada perlawanan peringkat kumpulan, ATM yang dianggap satu daripada pasukan pilihan untuk mencabar kejuaraan STL 2015 bermula dengan langkahan sempurna menewaskan Green Titans dan Gomo Warriors namun kemudiannya hilang konsistensi tewas tiga daripada lima perlawanan terakhir.   

Menariknya bagi ATM, regu kebangsaan mereka gandingan Nazmi Najib, Shakirin Nasir dan Muhaimi Che Bongsu yang beraksi mewakili regu kedua – kecuali perlawanan terakhir menentang City Flyers yang mana mereka mewakili regu pertama – tidak pernah tewas walau satu pun perlawanan.  

Mereka beraksi keseluruhan lima perlawanan dan dilihat sukar untuk digugat apabila mencicirkan hanya satu set sahaja iaitu ketika menentang Northern Rangers, justeru bakal sekali lagi menjadi sandaran ATM untuk merebut peluang mara beraksi di final.

Regu pertama dan ketiga pula dilihat mempunyai kekuatan seimbang dan dibantu faktor pengalaman yang dimiliki oleh pemain seperti Faizzul Razak, Hairee Haidzir dan Zulfikar Mat Amin yang menganggotai skuad juara GP Kebangsaan menewaskan Kelantan Oktober lalu, ATM dilihat berada dalam keadaan lebih bersedia kali ini.

Perlawanan separuh akhir STL 2015 akan berlangsung pada 12 Disember ini, manakala perlawanan akhir pula akan berlangsung pada hari berikutnya, 13 Disember.

Juara STL 2015 akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM40,000 manakala RM20,000 menjadi milik naib juara.

JADUAL PERLAWANAN:
Sabtu (12/12/2015):
Perlawanan separuh akhir 1: Black Panthers vs Gomo Warriors (12 tgh hari)
Perlawanan separuh akhir 2: City Flyers vs Armed Forces (4 ptg)
Ahad (13/12/2015):
Perlawanan akhir: Pemenang separuh akhir 1 vs Pemenang separuh akhir 2 (4 ptg)