"Robin Hood" Sabah dapat durian runtuh

Oleh Willie Jude  8 November 2018 126
Olahragawan Sukan Malaysia (Sukma) ke-18, Eugenius Loh Foh Soon mendapat 'durian runtuh' apabila menerima insentif berjumlah RM34,750 daripada kerajaan negeri Sabah, di Kota Kinabalu, malam tadi.

Pada temasya yang berlangsung di Perak itu, atlet memanah berusia 17 tahun itu bukan saja meraih empat pingat emas dan dua perak, malah beliau turut memperbaharui dua rekod kejohanan serta menyamai satu rekod kebangsaan.

"Memang terkejut (menerima insentif yang banyak), saya sangat gembira dan bersyukur kerana ini adalah insentif atau hadiah paling besar saya pernah dapat setakat ini.

"Sebahagian besar daripada insentif yang saya dapat ini saya akan simpan untuk kegunaan di masa akan datang, mungkin juga untuk kegunaan saya apabila saya menyambung pelajaran nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis makan malam dan penyampaian skim insentif kemenangan kepada atlet Sabah yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukma di Perak, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Frankie Poon Ming Fung, pembantunya, Arunarnsin Taib, Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah, Datuk Louis Rampas, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Terrance Edward Pudin dan Ahli Majlis Sukan Negara, Batholomew Jingulam.

Eugenius berkata, buat masa ini beliau melupakan seketika sukan memanah kerana ingin menumpukan perhatian kepada pelajaran terutama bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), minggu depan.

"Matlamat saya bukan sekadar berjaya dalam sukan kerana saya juga ingin mencapai kejayaan dalam pelajaran.

"Sekiranya berpeluang untuk melanjutkan pelajaran nanti, saya mungkin terpaksa memilih sama ada meneruskan karier sebagai atlet atau menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Tentang Penulis

Willie Jude 

Komen