Syed Saddiq, Khairy sambut kepulangan kontinjen para negara 

Oleh Penulis Jemputan 14 Oktober 2018 2931
 Syed Saddiq, Khairy sambut kepulangan kontinjen para negara 
Saingan Sukan Para Asia telah berakhir tetapi itu tidak bermakna barisan wakil negara boleh bercuti panjang, khususnya atlet berbasikal, Mohd Najib Turano, yang mendapat jemputan beraksi dalam Piala Dunia Basikal Trek di London bersama atlet normal.

Buat julung kalinya dalam siri Piala Dunia Basikal Trek anjuran Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), kategori para akan disertakan sekali bermula di London nanti.

Ia membuka ruang buat Najib yang mendapat jemputan setelah meraih pingat perak dalam Sukan Para Asia tempoh hari bagi acara kejar-mengejar kategori C4, selain turut mengutip dua lagi perak acara pecut berpasukan dan lebuh raya.

Justeru, tiada rehat panjang buat Najib yang akan kembali membuat persediaan beraksi dalam Piala Dunia Berbasikal Trek, Disember depan.

"Kami sudah dimaklumkan, sekiranya kami meraih emas atau perak Sukan Asia, kami dapat menyertai Piala Dunia Basikal Trek.

"Kami berasa teruja kerana dapat menyertai atlet normal," katanya.

Najib adalah antara barisan atlet para yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) hari ini selepas melakar kejayaan membanggakan dalam Sukan Para Asia Indonesia.

Secara keseluruhan, kontinjen para Malaysia membawa pulang 17 emas, 26 perak dan 25 gangsa untuk menduduki tangga kelapan keseluruhan.

"Ini temasya Sukan Asia kedua bagi saya, seelum ini saya terkandas dalam suku akhir. 

"Ini mungkin penyertaan terbaik buat saya," katanya. 

Sementara itu, kontinjen negara yang tiba di KLIA2 disambut meriah oleh keluarga masing-masing serta kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta mantan menteri, Khairy Jamaluddin. 

"Saya sangat gembira, sebab itulah saya katakan hanya sukan yang boleh menyatupadukan rakyat Malaysia, sebab itu apabila saya menghantar jemputan, saya hantar kepada semua pihak. 

"Mereka semua ada di sini untuk meraikan atlet para kita," kata Syed Saddiq. 

Keakraban dengan atlet para turut mengundang kehadiran Khairy yang berkata: "Sebagai (bekas) Menteri Belia dan Sukan selama lima tahun, saya telah bersama-sama dengan mereka sejak mereka muda lagi. 

"Oleh kerana saya tidak dapat pergi ke Jakarta baru-baru ini, saya mengambil kesempatan ini untuk menyambut dan memberi penghormatan kepada mereka di lapangan terbang."

Dalam masa sama, atlet lontar peluar negara, Ziyad Zolkefli, memanjatkan kesyukuran atas kejayaan kontinjen negara.

"Alhamdulillah kami selamat pergi dan pulang dengan selamat. 

"Kami melebihi sasaran 15 emas dengan memenangi 17 emas, ia adalah satu kebanggaan buat atlet para," kata Ziyad. 

Atlet lompat jauh T20, Latif Romly, yang merakamkan rekod baru dunia para, 7.64m, pula berkata: "Sukan Para Asia Jakarta menjadi kenangan manis buat saya memandangkan sudah dua tahun saya berusaha untuk meleburkan rekod dunia. 

"Alhamdulillah saya capai sasaran." 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen