Sukan Para Asia 2018: Noor Iasah, Nasharuddin sumbang emas negara

Oleh Penulis Jemputan 9 Oktober 2018 682
Sukan Para Asia 2018: Noor Iasah, Nasharuddin sumbang emas negara
Kontinjen negara membutirkan pingat emas pertama dalam Sukan Para Asia Jakarta 2018 apabila Siti Noor Iasah Ariffin cemerlang mengungguli acara 400 meter wanita T20, hari ini.

Noor Iasah menghadirkan emas pertama buat Malaysia apabila meraih catatan masa 58.66 saat dan dia menjelaskan kejayaan itu hanya untuk negara dan keluarganya.

"Saya tidak tahu apa yang ingin diucapkan tetapi semua ini dilakukan untuk negara, keluarga, ibu-bapa serta paling utama, suami saya. 

"Terima kasih kerana memberi saya sokongan moral dan ini juga untuk anak saya," katanya.

Dua tahun lalu ketika saingan Paralimpik Rio, Noor Iasah dinafikan peluang untuk membawa pulang pingat di garisan penamat dan dia mengakui kekecewaan itu menjadi pemangkin buat dirinya untuk beraksi lebih cemerlang di Indonesia.

"Jika diimbas aksi dua tahun lalu, memang saya kecewa tetapi saya cuba bangkit untuk memperbaiki catatan masa."

Selain Noor Iasah, Nasharuddin Mohd turut mempamerkan aksi terbaik untuk menyumbang emas kedua negara dalam acara 400 meter lelaki T20.

"Alhamdulillah, saya mencatat masa terbaik dan ia tidak pernah dilakukan sebelum ini," ujar Nasharuddin.

"Terima kasih kepada jurulatih yang mengajar saya dan ibu-bapa di kampung yang mendoakan saya.

"Kejayaan ini yang pertama sekali adalah untuk ibu-bapa, yang kedua buat jurulatih dan ketiga pastinya rakyat Malaysia."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen