Radiah sasar hatrik emas di Jakarta

Oleh Penulis Jemputan 4 Oktober 2018 71
Radiah sasar hatrik emas di Jakarta
Atlet lompat jauh para negara, Siti Noor Radiah Ismail, bertekad melakar hatrik sebagai penyumbang emas pertama negara dalam Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Radiah dan emas pertama seperti tidak dapat dipisahkan -- empat tahun lalu dalam Sukan Para Asia Incheon, Korea Selatan, Radiah menghadiahkan emas pertama buat kontinjen Malaysia menerusi acara lompat jauh wanita T20 (masalah pembelajaran).

Ia disusuli kejayaan memenangi emas pertama dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dengan lompatan sejauh 4.99 meter dalam aksi final  acara yang sama.

Peluang itu datang lagi buat Radiah, kali ini untuk penampilan keduanya di pentas Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia.

"Saya akan melakukan yang terbaik. Saya berharap sokongan daripada rakyat Malaysia untuk seluruh kontinjen Malaysia," katanya.

Radiah akan beraksi Isnin depan dengan atlet tuan rumah, Oktavia Rica Oktavia, yang menewaskannya dalam perebutan emas ketika Sukan Para ASEAN Singapura 2015, tampil sebagai pencabar utama.

"Saya meletakkan sasaran untuk meraih pingat emas untuk Malaysia serta memperbaiki catatan terbaik saya."

Untuk rekod, lompatan terbaik Radiah adalah 5.20m yang dilakukannya ketika meraih gangsa Sukan Paralimpik Rio 2016.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen