Paralimpik Tokyo 2020: Marzuki intai slot ketiga

Oleh Bernama 17 Jun 2020 4
Paralimpik Tokyo 2020: Marzuki intai slot ketiga
Selepas membantu dua pemanah para negara meraih tiket ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada tahun hadapan, jurulatih kebangsaan Marzuki Zakaria menyasarkan satu lagi slot dalam acara compound individu wanita.

Beliau mengakui prestasi memberangsangkan yang dipamerkan skuad compound negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa pada tahun ini, memberi petanda positif satu lagi slot mampu diraih ke temasya sukan berkenaan.

Dua pemanah para negara, S. Suresh dan Wiro Julian sudah menempah tiket ke Tokyo selepas meraih kedudukan podium pada Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 di Belanda dan Kejohanan Kelayakan Benua Asia 2019 di Thailand.

“Saya difahamkan kesemua kejohanan antarabangsa yang dirancang diadakan pada tahun ini telah ditunda pada tahun hadapan, termasuk kejohanan di peringkat domestik susulan pandemik COVID-19.

“Kita masih menunggu jadual kejohanan yang akan dikeluarkan oleh badan dunia bagi kalendar 2021, sebelum barisan jurulatih mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung perancangan kejohanan pada tahun depan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, Marzuki berkata latihan skuad kendaliannya di bawah program Road to Tokyo (RTT) di Lapang Sasar Memanah MSN Bukit Jalil ketika ini lebih tertumpu kepada latihan ringan bagi mendapatkan semula rentak panahan dalam kalangan pemanah kebangsaan.

Beliau mengakui Suresh dan Wiro masih cuba menyesuaikan diri dengan keadaan di lokasi berkenaan setelah tidak menjalani latihan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac.

"Latihan ketika ini tertumpu kepada panahan jarak dekat bagi menguatkan semula otot tangan kerana hampir tiga bulan atlet kita tidak dapat menjalani latihan seperti biasa akibat PKP.

"Saya berharap kem RTT yang diadakan di Bukit Jalil sehingga penghujung bulan ini dapat membantu Suresh dan Wiro mendapatkan semula keyakinan mereka untuk kembali ke prestasi asal masing-masing,” jelas Marzuki.

Beliau turut mendedahkan skuad memanah para negara akan kembali menjalani latihan seperti biasa di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, sekiranya mendapat 'lampu hijau' daripada MSN.

Seramai 142 atlet, pegawai dan staf sokongan daripada MSN dan Institut Sukan Negara telah melapor diri untuk menyertai kem latihan kem program RTT di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil sejak 8 Jun.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen