Marzuki belum sedia kibar bendera putih

Oleh Ammar Hakim 18 Mac 2020 4
Marzuki belum sedia kibar bendera putih
Ketua jurulatih memanah para negara, Marzuki Zakaria, masih belum sedia mengibar bendera putih untuk memastikan seorang pemanah wanita dapat layak ke Paralimpik Tokyo 2020 biarpun Pertubuhan Memanah Dunia telah menunda semua kejohanan berkaitan sehingga 30 April.

Badan induk itu semalam telah menggantung enam kejohanan yang bakal berlangsung, termasuk Kejohanan Memanah Para Eropah.

Sebelum itu, beberapa kejohanan juga terpaksa ditunda gara-gara penularan wabak Covid-19 yang kian merebak di seluruh dunia.

Biarpun beberapa kejohanan terbaru yang digantung badan induk tidak melibatkan penyertaan peserta Malaysia, Marzuki tetap berwaspada memandangkan tiket terakhir skuad negara untuk layak ke Paralimpik Tokyo adalah Jun ini menerusi saingan Kejohanan Kelayakan Dunia di Czech Republik.

Apatah lagi Marzuki menaruh harapan tinggi agar tiket terakhir itu direbut pemanah wanita yang dibarisi Nor Saodah Abdul Wahab dan Nor Jannaton Abdul Jalil.

"Kami mempunyai harapan dalam saingan compound wanita untuk memburu slot ke Paralimpik Tokyo 2020," kata Marzuki yang diwawancara oleh wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

Setakat ini, Malaysia sudah mempunyai dua wakil, masing-masing menerusi acara compound dan recurve, iaitu S. Suresh dan Wiro Julin.

Rombakan program latihan juga terpaksa dibuat memandangkan ketika ini segala fasiliti Majlis Sukan Negara (MSN) ditutup untuk sementara waktu.

"Jika program kejohanan diteruskan, atlet boleh menyertai kejohanan tersebut, namun kami tetap berharap pihak penganjur akan mendapatkan tarikh baru jika kejohanan ditunda bagi memastikan peluang untuk atlet melayakkan diri ke Paralimpik masih terbuka."
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen