Osorio sedar cabaran getir Jerman

Oleh Staff Writer 17 Jun 2018 949
Osorio sedar cabaran getir Jerman
Pengendali Mexico, Juan Carlos Osorio, berpendapat pasukannya akan menghadapi satu pasukan berbeza berbanding skuad yang membelasah mereka 4-1 dalam Piala Konfederasi 2017, menjelang aksi pertama Kumpulan F, Piala Dunia 2018, malam ini.

Joachim Low menampilkan wajah-wajah baru ketika aksi Piala Konfederasi tahun lalu, namun saingan Piala Dunia menyaksikan pengembalian bintang-bintang utama seperti Mesut Ozil, Sami Khedira, Toni Kroos dan Thomas Muller.

"Bagi kami, skuad Jerman kali ini sangat berbeza," kata Osorio.

"Ketika Piala Konfederasi, mereka mempertaruhkan tiga bek tengah bersama dua pertahanan sayap, dengan beraksi dalam bola sepak tradisional.

"Kini, mereka membuat keputusan untuk menggunakan empat pemain pertahanan sambil wujud pemain tambahan di bahagian tengah dan barisan depan. Mereka cuba mendapatkan penguasaan bola, sekali gus memberikan perbezaan ketara kepada corak permainan mereka."

Bagaimanapun, Osorio memiliki perancangan tersendiri dan berbekalkan kepantasan yang dimiliki bintang utama, Hirving Lozano, Mexico dilihat mampu untuk mempertaruhkan serangan balas.

"Jerman adalah pasukan yang bagus, diperkuatkan oleh dua pemain tengah yang mampu mengetuai bahagian tersebut serta mengawal perlawanan jika tidak diawasi.

"Kroos dan Khedira adalah dua pemain hebat tetapi kami tetap mampu bersaing dengan mereka," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen