Argentina lantik Scaloni sebagai jurulatih sementara

Oleh Staff Writer 3 Ogos 2018 1282
Argentina lantik Scaloni sebagai jurulatih sementara
Lionel Scaloni dilantik selaku ketua jurulatih sementara Argentina.

Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) mengesahkan pelantikan jurulatih berusia 40 tahun itu dalam satu kenyataan ringkas semalam. 

Scaloni, yang merupakan jurulatih skuad B-20 Argentina, akan dibantu oleh bekas rakan sepasukannya di peringkat antarabangsa, Pablo Aimar, untuk memikul tanggungjawab sebagai persiapan menghadapi Guatemala dan Colombia, bulan depan. 

Perlawanan itu akan menjadi aksi pertama yang berlangsung di Argentina sejak kempen Piala Dunia 2018 yang mengecewakan di Russia, dengan Scaloni ketika itu merupakan sebahagian daripada kakitangan belakang tabir pada era Jorge Sampaoli.

"AFA ingin memaklumkan selepas perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, Lionel Scaloni akan mengendalikan perlawanan persahabatan membabitkan pasukan kebangsaan Argentina yang berikutnya serta dibantu oleh Pablo Aimar dan Martin Tocalli," kata kenyataan AFA.

Presiden AFA, Claudio Tapia, memberitahu Ole bahawa dia menjangka jurulatih sementara itu akan dikekalkan sepanjang 2018.

"Tiga perlawanan antarabangsa yang akan datang sehingga hujung tahun ini akan dikemudi oleh Scaloni dan Aimar," katanya.

Argentina berdepan detik mencemaskan apabila hampir terkandas di peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 sebelum Marcos Rojo menjaringkan gol kemenangan dramatik ke atas Nigeria, namun mereka dihantar pulang susulan kekalahan 2-4 kepada Perancis dalam pusingan 16.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen