Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, menolak sebarang cadangan untuk membimbing seteru LaLiga, Real Madrid.

Simeone, 46, telah mengurus Atletico sejak 2011 sehingga muncul antara jurulatih ternama dunia. 

Di bawah asuhannya, Atletico berjaya merangkul gelaran Liga Europa, LaLiga dan beberapa kejuaraan lain lagi selain turut mara dalam dua perlawanan akhir Liga Juara-Juara. 

Biarpun khidmatnya dikehendaki banyak kelab-kelab besar, Simeone berkata Real Madrid sama sekali tidak akan berada dalam senarainya. 

"Saya tidak akan melatih Real Madrid," katanya kepada Onda Cero. 

"Ia sesuatu yang logik berdasarkan perasaan. Mereka juga tidak akan memanggil saya. 

"Saya masih muda, mungkin satu hari nanti saya akan menerajui sebuah pasukan Sepanyol yang lain."

Bekas tonggak Argentina itu juga mengulangi impiannya untuk membimbing pasukan kebangsaan pada satu hari nanti. 

"Saya berhasrat untuk melatih Argentina, namun saya perlu memperbaiki diri sebagai jurulatih. 

"Saya mahu melakukannya di penghujung karier saya."