Bintang Monaco, Kylian Mbappe, menegaskan dia enggan 'tergesa-gesa' terhadap laporan ada kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya selepas mempamerkan aksi memukau musim ini.

Penyerang muda itu mengekalkan tahap permainannya dengan menjaringkan dua gol buat Monaco ketika meraih kemenangan 3-0 ke atas Caen dalam aksi Ligue 1, semalam.

Gol tersebut menyaksikan dirinya telah meledak 19 gol dalam semua kejohanan musim ini, 14 daripadanya hadir dalam 12 perlawanan baru-baru ini.

Pemain berusia 18 tahun itu berkata dia berada pada tahap terbaiknya, namun menolak pencapaiannya itu sebagai sesuatu yang menakjubkan.

"Saya tidak menyifatkannya sesuatu yang menakjubkan. Saya hanya boleh menyatakan bahawa saya mampu menghasilkan yang terbaik, tiada apa yang luar biasa," kata Mbappe.

"Pemain yang luar biasa adalah mereka yang mampu menjaringkan 60 gol."

Prestasinya itu telah mengaitkannya dengan perpindahan ke kelab gergasi seperti Real Madrid dan Manchester United pada musim panas Jun nanti.

Bagaimanapun, penyerang Perancis itu enggan terganggu dengan sebarang spekulasi mengenainya dan mahu memberikan tumpuan untuk musim ini.

"Maaf, saya tidak membaca apa yang telah ditulis dalam akhbar Inggeris. Saya mahu memberikan tumpuan kepada permainan saya terlebih dahulu.

"Saya bangun setiap hari dan pergi menjalani latihan seperti orang lain. Saya cuba untuk meningkatkan mutu permainan saya."