Pengurus Melaka United, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, membayangkan beberapa pemainnya akan dipinjamkan ke pasukan lain sebelum sepak mula Liga Malaysia, 20 Januari ini.

Selain PKNS FC, Melaka juga antara pasukan yang mempunyai lebihan pemain.

Ketika ini, skuad Hang Tuah dibarisi 28 pemain selepas merekrut 19 pemain baru dan mengekalkan sembilan pemain musim lalu.

Pemain di bahagian serangan dilihat paling ramai, sekali gus menyaksikan akan ada antara mereka yang akan dipinjamkan.

"Saya akan membuat keputusan selepas pulang dari Kemboja dan memberitahu pemain mana yang bakal dipinjamkan untuk beraksi bersama pasukan lain. 

"Kami tidak mahu membuat keputusan terburu-buru kerana mahu mengelak daripada kekurangan pemain selepas bermulanya Liga Malaysia musim 2017," katanya.

Skuad Hang Tuah akan menentang Felda United untuk aksi pemanas badan terakhir di Melaka pada 14 Januari ini.

Ia bakal menjadi medan terakhir buat pemain membuktikan keupayaan masing-masing untuk kekal menyarung jersi Melaka.