Kemenangan 1-0 ke atas pasukan Liga Super, Sarawak, dalam aksi persahabatan di Kuching, Ahad lalu, sedikit-sebanyak menyuntik semangat Sang Badak untuk menjadi antara pencabar bagi saingan Liga Perdana musim 2017.

Malah, Pengarah Sukan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Adlane Messelem, juga boleh berasakan skuad Negeri di Bawah Bayu itu mampu memperolehi keputusan lebih baik berbanding sebelum ini.

"Ia bukan kerana pasukan ini telah berjaya dalam percubaan pertama mereka (perlawanan persahabatan bertemu Sarawak), tetapi kerana semangat juang tinggi, kesungguhan serta komitmen yang ditunjukkan dalam perlawanan itu.

"Saya percayajika pemain terus berusaha sebagai satu pasukan untuk mencapai sasaran ditetapkan, mereka boleh tersenyum pada akhir musim nanti," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, semalam.

Dalam perlawanan itu, gol tunggal pemain pertahanan, Rawilson Batuil, pada minit ke-25 sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan buat Sabah dalam aksi 'Borneo Derby' berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai aksi persahabatan itu, Messelem berkata ia bukan satu perlawanan yang mudah dan pasukannya juga tidak beraksi di tahap terbaik mereka.

"Sebenarnya, perlawanan itu memberi banyak pengajaran berguna buat pasukan, yang pertama adalah kita bermain di gelanggang lawan bertemu pasukan lebih baik.

"Ia adalah 'Borneo Derby', jadi saya beritahu kepada pemain supaya menunjukkan sesuatu yang baik tanpa mengira apapun keputusan.

"Bagaimanapun, saya gembira dengan semangat melawan tinggi yang ditunjukkan pemain, saya melihat satu kerja berpasukan yang baik dan kami sangat gembira dengan itu. Ia antara faktor yang kami perlu ada bagi menghadapi musim ini," katanya.

Selepas perlawanan bertemu Sarawak, pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu sekali lagi akan bertemu dengan sebuah pasukan Liga Super, iaitu PKNS, dalam aksi persahabatan di Stadium Likas, Sabtu ini.

"Ini adalah ujian kedua buat pasukan dan saya harap kami akan dapat memastikan yang kami juga boleh bersaing dengan pasukan yang lebih baik.

"Saya juga menyeru kepada semua penyokong supaya hadir untuk memberi sokongan dan bukannya mengkritik pasukan.

"Pasukan ini sangat muda, mereka sangat bekerja keras setiap hari dan cuba mendapatkan keputusan yang baik untuk dihadiahkan kepada penyokong."