Terengganu Hockey Team (THT) bertemu Maybank di perlawanan akhir Piala Tan Sri P. Alagendra selepas membenam Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 7-2 di Stadium Tun Razak, sebentar tadi.

Pemain import dari Korea, Jang Jong Hyun menjaringkan hatrik, dua gol daripada Firhan Ashari manakala Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil dan Faizal Saari masing-masing menjaringkan satu gol untuk mengecewakan skuad kendalian Muhammad Harun Al Rashid Samri. KLHC berjaya menjaringkan dua gol saguhati menerusi Muhammad Haziq Samsul dan Muhammad Noor Faeez Ibrahim.

Kedua-dua pasukan mengambil langkah berjaga-jaga di awal permainan sehingga minit ke-11, juara dua kali itu memecah kebuntuan dengan membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti, namun KLHC bangkit dua minit kemudian hasil pukulan strok penalti Muhamad Haziq Samsul.

Anak buah Sarjit Singh menjadi kedudukan kepada 2-1 pada suku kedua perlawanan dengan jaringan gol Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil. THT semakin selesa dan berjaya menemui rentak permainan sekaligus menambah dua lagi gol hasil pukulan sudut penalti Jang.

Sementara itu, Maybank meraih satu lagi slot aksi final selepas merakamkan kemenangan 5-1 ke atas Majlis Bandaraya Petaling Jaya. 

Skuad kendalian Saiful Azli Abdul Rahman mendahului perlawanan dengan tiga jaringan tanpa balas di suku pertama hasil gol daripada Mohammad Sybrie Samsuddin, Jang Soon Chan dan Hafifi Hafiz Hanafi.

Bersambung di babak kedua perlawanan, Hafifi mencetak dua lagi gol pada minit ke-43 dan 50. Jaringan gol MPBJ dihasilkan oleh Mohd Noorshahrezan Mat Jusoh enam minit sebelum perlawanan tamat.

Maybank dan THT bakal berentap dalam aksi final pada 10 Januari di Stadium Tun Razak.