Felda terus berada di tangga teratas Liga Super selepas mencipta kemenangan besar 4-0 ke atas PDRM dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, pada Rabu.

Sedar perbezaan satu mata dengan pesaing terdekat, Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh mengubah kedudukan, Felda turun dengan semangat juang yang tinggi.

Kemahiran Francis Forkey Doe menggelecek pertahanan lawan membuka peluang kepada Felda di depan gol PDRM, sebelum ia disudahkan dengan baik oleh Christie Jayaseelan pada minit ke-22.

Forkey Doe mendapat peluang baik pada minit ke-27, namun bekas pemain Selangor dan Kelantan ini dijatuhkan di luar kotak penalti. Sepakan percuma yang diambil Lutfulla Turaev nyata tidak dipersia-siakan apabila dia melakukan rembatan deras ke penjuru gawang gol PDRM.

Tidak lama kemudian, Turaev berjaya melepasi benteng pertahanan, sebelum membuat hantaran kepada Forkey Doe yang berada di kedudukan baik. Namun sayang, Forkey Doe didapati berada di kedudukan ofsaid sebelum dia melakukan jaringan.

Bersambung dalam babak kedua, Felda terus memperlihatkan penguasaannya dengan beberapa peluang berjaya dicipta. Kelibat Forkey Doe jelas berbisa apabila dia hampir-hampir menjaringkan gol ketiga untuk Felda, namun pemain pertahanan lawan cepat menyelamatkan keadaan.

Pada minit ke-57, PDRM memiliki peluang terbaik untuk melakukan jaringan pembukaan menerusi Shafiq Jamal, namun penjaga garisan cekap untuk mengesan kedudukan pemain itu yang dalam kedudukan ofsaid.

Pada minit ke-58, Turaev meluru ke depan gol untuk menanduk bola hantaran jauh rakannya, namun bola tepat menuju ke ke arah penjaga gol lawan.

PDRM meraih peluang pada minit ke-81, menyaksikan giliran Shafiq bijak melakukan lambungan yang mencemaskan penjaga gol Felda, Farizal Harun.

Kebuntuan PDRM untuk mencari gol terus berlarutan selepas usaha barisan penyerang mereka mudah dipatahkan pertahanan Felda, sebaliknya mereka dikejutkan sekali lagi dengan gol ketiga Felda menerusi tandukan kemas Turaev pada minit ke-88.

Pada masa kecederaan, Forkey Doe menambah duka PDRM hasil rembatan rendah untuk menamatkan perlawanan 4-0 berpihak kepada Felda.

Dalam perlawanan lain yang berlangsung serentak pada malam ini, JDT turut mencipta kemenangan besar apabila menumpaskan Sarawak 5-2 di Larkin.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang mengutip kemenangan kedua apabila menewaskan Kelantan 4-3.

Kedah pula gagal meneruskan aksi cemerlang seperti dalam Piala FA apabila tumpas kepada T-Team 4-1 di Kuala Terengganu.

Selangor berjaya meraih tiga mata biarpun menang tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Selayang.