Khairol Zaman Hamir Akhbar, pernah dihadap ke jawatankuasa tatatertib dan digugur dari skuad kebangsaan kerana meninggalkan kelab Thailand, Nakhon Pathom sebelum tamat aksi Liga Sepaktakraw Thailand namun semua cerita silam itu menjadikan pemain muda itu seorang yang lebih matang.  

Apit kanan kelahiran Negeri Sembilan itu, memanfaatkan sepenuhnya peluang kedua yang diberi Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan sudahpun melonjakkan namanya selaku salah seorang perejam utama skuad kebangsaan sejak setahun yang lalu. 

Dan kini, Khairol Zaman berazam meneruskan rentetan aksi terbaiknya sepanjang 2015 untuk mengintai gemilang bagi tahun 2016 – bermula dengan pusingan pertama ISTAF SuperSeries Bangkok 2016. 

“Kejadian lalu memang banyak merubah saya, mematangkan saya dan membentuk saya menjadi lebih berdisiplin. Apa yang saya fikir, saya sudah bermain takraw lebih kurang 10 tahun, sejak usia saya 10 tahun, dan ia hampir menjadi satu yang sia-sia. Jadi saya cakap kepada diri, saya perlu jadi lebih baik, saya perlu balas kepercayaan semua, saya banyakkan berlatih sendiri di waktu lapang, di waktu siang saya bekerja.”

“Sepanjang tahun lalu skuad takraw kita ada pencapaian pasang surut. Yang paling dikenang tentunya ketika kita muncul juara ISS di Melaka dengan tewaskan Thailand, kemudian menang emas Sukan Sea selepas 10 tahun. Saya gembira untuk menjadi sebahagian dari sejarah itu, dan saya harap ia memberi kita inspirasi untuk lakukan lebih baik tahun ini.”

Walaupun belum mengetahui sama ada namanya akan tersenarai atau tidak dalam saingan pusingan pertama ISS nanti memandangkan jurulatih kebangsaan Abdul Talib Ahmad sebelum ini menyatakan mahu membawa skuad adunan pemain utama dan muda untuk diberi pendedahan,  Khairol Zaman berkata dia perlu sentiasa bersedia untuk menyahut cabaran seandainya diberi peluang.

Selain Khairol Zaman yang kembali semula ke skuad kebangsaan pada awal 2014, apit kanan utama kebangsaan adalah Hanafiah Dollah yang sah tidak akan disenaraikan untuk ISS kali ini kerana akan melangsungkan perkahwinannya pada penghujung Februari, manakala Zamree Dahan, Afifudin Razali dan Norshahrudin Mad Ghani dalam regu elit B.  

Khairol Zaman yang merupakan lepasan Sekolah Sukan Bandar Penawar menganggap Malaysia mempunyai peluang yang baik untuk mencipta kejayaan di bumi Bangkok tetapi tidak mahu siapapun pemain yang mengalas cabaran nanti memandang rendah keupayaan lawan yang bakal ditentang pasukan negara. 

“Memang kita ada kelebihan, tetapi kita tidak boleh nafikan setiap pasukan ada kekuatan tersendiri. Sama ada ianya pasukan kecil seperti Myanmar, Filipina atau pasukan besar seperti Thailand semua ada kelebihan masing-masing. Silap jika kita ambil mudah. Kita perlu perkemaskan pertahanan, servis dan juga rejaman,” ujar pemain berusia 22 tahun itu.   

Khairol Zaman menjadikan kejayaan Korea menewaskan Malaysia di ISS New Delhi 2013/2014 dan ISS Korea 2015 serta kekalahan kepada Singapura di kejohanan sama (ISS Korea 2015) sebagai pengajaran dan tidak mahu episod malang sama berulang sekali lagi, lantas berjanji memberikan sepenuh komitmen dan yang terbaik untuk menjulang nama negara.