Menurut Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Morten Frost, Soon Kit perlu diberi lebih masa memandangkan dia masih menyesuaikan diri dengan sistem kejurulatihan yang diterapkannya.

"Bagi saya, kami dalam situasi di mana kami perlu menyesuaikan diri dengan Soon Kit sama seperti dia sesuaikan diri dengan kami,

"Jadi memang mustahil untuk membuat penilaian dalam masa sebulan namun kami mengharapkan keputusan positif dalam masa yang akan datang," kata Frost.

Soon Kit jadi pilihan BAM untuk memperkasakan bahagian beregu lelaki bersama Jeremy Gan dan memulakan tugasnya Disember lalu.

Dalam perkembangan berasingan, Frost menaruh harapan tinggi prestasi juara perseorangan kebangsaan yang baharu, Iskandar Zulkarnain akan terus melonjak.

Malah tidak mustahil Iskandar mampu memburu salah satu slot pemain perseorangan dalam skuad Piala Thomas negara untuk hadapi pusingan kelayakan di Hyderabad, India nanti.

2015 disifatkan sebagai tahun terbaik Iskandar yang turut raih tiga gelaran Cabaran Antarabangsa di Singapura, Poland serta Switzerland.

"Iskandar mempamerkan aksi hebat pada tahun 2015 dan melonjak ke atas dalam ranking dunia dari kelompok 100 terbaik, kini dia berada dalam kelompok 50 terbaik,

"Saya percaya dia boleh melepasi ranking ke-50 dengan mudah jadi saya mahu lihat Iskandar berada dalam kelompok 30 terbaik dalam dunia pada tahun 2016," tambahnya.