Para ASEAN: Beralih sukan, Syukri tekad pulang dengan pingat

Oleh Staff Writer 26 Disember 2019 90
Para ASEAN: Beralih sukan, Syukri tekad pulang dengan pingat
Dahulu atlet olahraga para, kini beralih menjadi pemain bola sepak cerebral palsy -- Muhammad Syukri Abdul Razak mahu menjadikan penghijrahan kariernya mampu membawa pulang pingat menjelang Sukan Para ASEAN Filipina.

Syukri membuat penampilan sulungnya dalam Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur dua tahun lalu sebagai pelari pecut para olahraga.

Beraksi di bawah kategori T37, Syukri yang mewakili Malaysia dalam tiga acara, 100 meter, 200m dan 400m gagal meraih sebarang pingat ketika itu.

Bagaimanapun, untuk ke Sukan Para ASEAN Filipina 2020, Syukri gagal menempatkan diri dalam skuad olahraga para ketika sesi pemilihan dijalankan, justeru membuat keputusan beralih menyertai skuad bola sepak cerebral palsy.

"Saya memang minat bola sepak. Sejak dua tahun lalu, saya telah menyertai sesi kelayakan, namun memilih beraksi dalam sukan olahraga. Saya yakin mampu menghasilkan sesuatu kali ini dan meraih pingat untuk negara," katanya.

Pemain yang beraksi di posisi sayap kanan itu berjaya meyakinkan ketua jurulatih, Asnan Mohd Zuki, untuk menyenaraikannya menjadi antara 14 pemain akhir untuk skuad bola sepak cerebral palsy negara dan sudah mula berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN) sejak Oktober lalu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen