Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, menganggap dirinya sangat bertuah kerana masih berupaya meningkatkan prestasinya meskipun sudah menjangkau usia 36 tahun.

Berdasarkan statistik dan analisis yang dilakukan bersama ketua jurulatih skuad berbasikal kebangsaan, John Beasley, data menunjukkan prestasinya semakin meningkat dari semasa ke semasa dalam sesi latihan.

Bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai depan, Azizulhasni sudah mula membayangkan dirinya ke final bersama seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom, untuk menggenggam emas pertama yang dinantikan seluruh rakyat malaysia.

Ini kali kelima Azizulhasni akan bersaing di pentas Sukan Olimpik, sekali gus menyamai rekod legenda terjun negara, Datuk Leong Mun Yee, selaku atlet Malaysia paling banyak melakukan penampilan di pentas sukan tertinggi dunia itu.

Sebagai rekod, Azizulhasni menyumbangkan pingat gangsa dalam edisi di Rio pada 2016 dan disusuli dengan pingat perak dalam edisi Tokyo 2020.

"Saya sebenarnya agak terkejut kerana pada kebiasaannya, prestasi akan mula menurun apabila anda berada pada umur 30an," katanya kepada Astro Arena.

"Tetapi mungkin genetik, saya tidak tahu, apapun berbasikal trek ialah mengenai nombor, sama seperti Formula 1.

"Kami ada semua nombor, semua data, segalanya tentang data dan anda tidak boleh menipu.

"Apabila kita berlatih, kita hanya bagi 80 peratus, jurulatih dapat melihat nombornya dan tahu anda tidak berlatih 100 peratus.

"Selepas latihan, kami dapat menjejak prestasi kami dan membandingkannya.

"Jadi, graf saya masih meningkat dan ia agak mengejutkan," katanya.