Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2017 di Melaka pada Mei nanti bakal menjadi antara sandaran buat jurulatih negara, Paul Birmingham, memuktamadkan pasukan bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur. 

Secara keseluruhan, skuad renang negara dalam persiapan rapi untuk menghadapi Sukan SEA dengan sasaran memperbaiki pencapaian tiga emas, empat perak dan empat gangsa di Singapura dua tahun lalu. 

Justeru, saingan Terbuka Malaysia dilihat medan tepat buat perenang negara menguji kemampuan, terutama melakukan catatan yang lebih baik. 

Ini kerana kejohanan berkenaan juga menawarkan slot ke Kejohanan Dunia. 

Begitupun, Birmingham enggan meletakkan sasaran terlalu awal kerana belum mengetahui suasana venue pertandingan di Melaka. 

"Kami akan menunggu sehingga saat akhir untuk memastikan atlet yang layak (ke Sukan SEA). 

"Ia pastinya kejohanan yang rumit kerana diadakan di Melaka dan tidak akan memberi sebarang kelebihan buat atlet negara," katanya. 

Dalam pada itu, Birmingham mahu sesi latihan perenang negara terus dipertingkatkan selepas hanya menjalani sesi latihan sederhana sepanjang Disember dan Januari lalu. 

Dengan Pusat Akuatik Negara dijangka siap sepenuhnya pada Julai, Birmingham terpaksa akur dengan kemungkinan mempunyai tempoh hanya sebulan untuk menyesuaikan diri di venue itu sebelum Sukan SEA membuka tirai. 

"Tiada apa yang kami boleh lakukannya. Saya harap mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik. 

"Saya tidak gemar mengadakan latihan penuh pada Januari kerana berdepan terlalu banyak gangguan."