Pemain tengah import Terengganu Hockey Team (THT), Jang Jong Hyun, berada di landasan terbaik untuk mempertahankan gelaran penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia (LHM) apabila muncul sebagai pendahulu dengan sembilan gol selepas membantu pasukannya menjuarai Piala Tan Sri P. Alagendra. 

Jong Hyun hanya memerlukan masa yang singkat untuk mendapat sentuhan dalam saingan LHM.

Dia meledak sembilan gol hanya dalam empat perlawanan, sekaligus purata dua gol setiap kali turun beraksi. 

Lebih menarik, pemain kebangsaan Korea Selatan itu mencipta hatrik ketika membantu THT menewaskan Maybank 5-3 dalam perlawanan akhir Piala Tan Sri P. Alagendra. 

"Misi utama saya ialah membantu pasukan memenangi setiap perlawanan. Jaringan peribadi menjadi perkara kedua. Saya lihat cabaran lebih sukar tahun ini tapi saya akan cuba untuk mengekalkan gelaran penjaring terbanyak liga," katanya. 

Musim lalu, Jong Hyun muncul penjaring terbanyak LHM dengan 16 gol. 

Bagaimanapun, cabaran lebih sengit musim ini apabila penyerang Maybank, Hafifihafiz Hanafi, mengekori rapat dengan lapan gol manakala rakan sepasukannya, Faizal Saarim, dengan tujuh gol. 

THT berpeluang menambah trofi kedua apabila melayan kunjungan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam perebutan Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, Jumaat ini.