"Kami menunjukkan keinginan untuk menang, kami berkomunikasi, kami bertarung.

"Inilah hasilnya kerana pasukan ini sememangnya mampu untuk mempamerkan aksi bola sepak yang baik," ujar pengurus Manchester United, Erik Ten Hag.


Akhirnya dia mampu menghela nafas lega setelah anak buahnya mengecapi kemenangan 2-1 yang cukup manis dan tidak disangka-sangka ke atas seteru ketat, Liverpool, awal pagi tadi.

Keyakinan yang hilang telah dipulihkan -- seharusnya itulah rumusan di sebalik punca kemenangan United.

Pemain baru, Lisandro Martinez, yang tidak henti-henti dikritik kerana memiliki tubuh badan pendek, ternyata memberikan persembahan lebih mantap berbanding pemain pertahanan Liverpool yang pernah memenangi tempat kedua anugerah Ballon D'Or, Virgil Van Dijk.

Dalam satu detik pada separuh masa pertama, Martinez merebahkan tubuh demi menahan rembatan Mohamed Salah menggunakan tubuhnya.

Akibat rembatan tersebut dihalang, satu sepakan sudut menyusul yang menyebabkan pemain United, Bruno Fernandes mengalami satu tempoh kekeliruan sejenak sehingga mahu menyepak masuk bola ke dalam gawang sendiri.

Mujur Martinez sekali lagi menyelamatkan keadaan dan menghalang kemasukan bola pada saat-saat terakhir.

Van Dijk pula mengalami nasib berbeza.







Seawal minit ke-16, pemain sayap United, Jadon Sancho, menerobos dari bahagian kiri dan tenang mengawal bola bagi memperdayakan James Milner yang cuba bertahan, sehingga menyebabkan dia jatuh tergolek.

Sancho diberikan tempoh masa yang lebih daripada mencukupi untuk memilih penjuru gol mana yang harus dilepaskan rembatan, kerana Van Dijk hanya sekadar berdiri tegak dan memerhati, tiada sebarang percubaan untuk melakukan terjahan pun.

Dari situlah gol pertama United dijaringkan.

Menurut laporan The Daily Mail, sebelum sepak mula, Ten Hag mendedahkan kepada media bahawa dia telah membuat keputusan untuk tidak menyenaraikan Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama bagi membolehkan tiga pemain penyerangnya, Sancho, Anthony Elanga dan Marcus Rashford melakukan tekanan berterusan terhadap barisan pertahanan Liverpool.

Hasil tekanan itu, digabungkan dengan hakikat di mana Liverpool beraksi tanpa kelibat Fabinho, Thiago dan Naby Keita, Liverpool goyah dan memberikan kesan negative, terutama kepada pemain seperti Trent-Alexander Arnold.

Pada separuh masa kedua, hantaran silangnya dipintas dengan mudah oleh Raphael Varane.

Pintasan ini gagal dikawal dengan baik oleh kapten Liverpool, Jordan Henderson yang menyebabkan bola dilorongkan ke arah Anthony Martial, seorang lagi pemain United yang seharusnya menemui semula keyakinannya.

Martial melakukan hantaran cantik ke arah Rashford yang telah lama menanti -- selama tujuh bulan lamanya dia tidak menjaringkan gol.

Dengan hanya penjaga gol Liverpool, Alisson, untuk ditewaskan, Rashford tidak melakukan sebarang kesilapan.

2 untuk United, 0 untuk Liverpool.










Pemain United semakin yakin, pemain Liverpool semakin layu.

Sepanjang perlawanan, ada satu ayat yang pastinya menimbulkan hilai-ketawa jika diucapkan pada minggu-minggu yang sudah -- Liverpool tidak mampu menandingi semangat dan sifat agresif United.

Namun, tiada sesiapa boleh mentertawakan hakikat itu selepas menyaksikan perlawanan awal pagi tadi.

Liverpool akhirnya berjaya merampas kembali satu gol menerusi Mohamed Salah pada minit ke-81 tetapi United tetap kekal tenang dan berdisiplin bagi memastikan kemenangan milik mereka.

Dengan hanya dua mata daripada tiga perlawanan setakat ini, Liverpool pula yang kini berhadapan dengan krisis, siapa sangka?

Bagi United, apa yang penting adalah untuk mereka terus membina semula keyakinan yang telah diperoleh dan mendengar tunjuk ajar serta arahan Ten Hag.

Jika persembahan serta kualiti yang ditunjukkan ini dapat dikekalkan, ia merupakan langkah pertama dalam menajamkan semula taring yang telah lama tumpul.