Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, memuji sikap dan semangat juang barisannya selepas kemenangan 2-1 yang amat diperlukan ke atas Liverpool, awal pagi tadi.

Ledakan daripada Jadon Sancho dan Marcus Rashford sudah cukup untuk mengekang musuh ketat United itu dan membolehkan tuan rumah mengutip mata pertama dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini biarpun tandukan Mohamed Salah pada minit ke-81 mencetuskan sedikit ketegangan di penghujung perlawanan.

Kemenangan itu mengangkat United dalam carta liga memandangkan The Reds masih belum menang.

United menjadi pasukan yang lebih tertekan menjelang pertembungan itu berikutan kekalahan 0-4 di Brentford minggu lalu tetapi Ten Hag tetap berpegang teguh terhadap taktikalnya.

"Kita boleh bercakap tentang taktikal tetapi ini semua tentang sikap," kata pengurus berbangsa Belanda itu kepada Sky Sports.






"Sekarang anda lihat kami menjelmakan sikap ini di atas padang; ada komunikasi, ada semangat juang. Anda dapat lihat apa yang kami mampu capai.

"Saya mahukan pendekatan yang berbeza, saya mahukan sikap yang berbeza dan itulah yang mereka tonjolkan di atas padang. Itulah yang membuatkan saya berpuas hati tetapi ini hanya satu permulaan.

"Kami perlu merendah diri dan saya fikir masih banyak perlawanan untuk diharungi. Adalah lebih baik sekiranya kami lebih tenang, lebihkan lagi hantaran.

"Kami perlu bertindak, pastikan kami adalah sepasukan dan dalam pertempuran selain berani. Berikan satu sama lain pilihan apabila kami menguasai bola, jadi ia bukan sahaja tentang semangat."